Malaysiakini
BERITA

SPRM tahan tiga lagi penguat kuasa MBSA disyaki lindungi pusat judi

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Ogs 2020, 2:17 pagi

Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman untuk membantu siasatan kes menerima dan mengutip rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Perintah reman selama enam hari terhadap tiga lelaki berumur antara 40 dan 43 tahun yang bermula hari ini sehingga Rabu depan (19 Ogos) itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Mereka yang ditahan di ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas hadir memberi keterangan, dibawa ke mahkamah kira-kira 8.30 pagi dengan bergari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ini menjadikan jumlah lapan pegawai penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga yang direman bagi membantu siasatan kes yang sama.

Isu tersebut menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.