Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Korea Selatan siap sedia hadapi gelombang kedua
Diterbitkan:  Aug 18, 2020 5:20 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

GLOBAL | Jumlah kes baru Covid-19 di Korea Selatan meningkat dengan ketara pada Selasa apabila jangkitan membabitkan kluster gereja di Seoul tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan, mendorong kerajaan mempertimbangkan langkah pencegahan lebih ketat di bandar raya itu.

Negara itu menambah 246 lagi kes Covid-19, termasuk 235 jangkitan tempatan, meningkatkan jumlah kes menjadi 15,761, lapor agensi berita Yonhap menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).

Kes berada pada angka tiga digit untuk hari kelima berturut-turut, berikutan 166 lagi jangkitan pada Sabtu dan 103 Jumaat.

Pada Ahad, Korea Selatan melaporkan 279 jangkitan baru, pertama kali sejak awal Mac, angka itu melepasi 200 dan sebanyak 197 pada Isnin.

Korea Selatan menyaksikan pertambahan hampir 1,000 kes dalam tempoh lima hari kebelakangan ini.

Negara itu sebelum ini belum pernah melaksanakan sekatan pergerakan yang ketat, berusaha untuk mengekang penularan virus dan pada masa sama mengekalkan kebanyakan aktiviti harian serta perniagaan.

Pihak berkuasa kesihatan memutuskan untuk meningkatkan tahap penjarakan sosial di Seoul dan kawasan berdekatan kepada Tahap Dua selama dua minggu bermula Ahad.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS