Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Tak perlu roboh sekolah vernakular, cuma perbaiki BM

Pemuda PAS menyokong supaya sekolah vernakular terus dibuka tetapi berharap pendidikan dan pembelajaran bahasa kebangsaan Bahasa Malaysia akan diperbaiki lagi.

Ini selepas Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal bertegas mahu sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat, mendakwa ia rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang kental jati diri nasional.

Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, hari ini, memuji Wan Fahysal "yang paling berani" dalam mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Khairil yang bertanding di Gombak ketika PRU14 berkata pendirian beliau dan sayap Pemuda PAS mengenai isu sekolah vernakular tidak berubah sejak dua tahun lalu.

"Sekolah itu sudah ada, biarlah buka. Cumanya kita perlu meletakkan pemerkasaan kualiti pendidikan kebangsaan dan kemenjadian (kejayaan) murid di dalam sekolah vernakular.

"Yang sedia ada, sedia ada lah. Takkan kita nak roboh yang sedia ada, sekolah vernakular, SRJK.

"Sebab itu pada pendapat Pemuda PAS, sekolah-sekolah ini perlu mengadaptasi kualiti sistem pendidikan negara dan sekiranya perlu untuk perkasakan lagi, silakan,” katanya ketika berucap.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu adalah Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Wan Fahysal (gambar, bawah) juga menyampaikan ucapan pada majlis sama.

Timbalan menteri belia dan sukan menjelaskan cadangannya itu bertujuan untuk menggalakkan "perbincangan intelektual" dan bukan untuk mencetuskan "polemik politik."

"Di mana saya membuat lontaran pandangan selaku (ketua) Armada, masyarakat respon kepada menteri perpaduan. Saya dikecam hebat," katanya.

Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini menolak jaminan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique bahawa kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

"Pandangan saya tidak berdasarkan prejudis saya kepada bangsa lain. Itulah satu renungan dan lontaran yang kami fikir ialah perkara penting.

"Kita sudah 63 tahun merdeka tapi isu perpaduan masyarakat kita masih masih tidak berubah lagi," katanya.

Merujuk hasil kajian ahli akademik Teo Kok Seong, Wan Fahysal berkata perlu kompromi dalam mencapai perpaduan kaum.

"Kalau ingin melahirkan perpaduan nasional yang sebenar perlu ada pengorbanan antara kaum dan saya fikir orang Melayu dah berkorban banyak.

"Kita sudah meninggalkan aksara Jawi dan kita sudah lama membuka ruang yang pelbagai kepada bangsa-bangsa lain untuk kita hidup bersama. Untuk kemakmuran secara bersama

"Jadi ini saya rasa perkara yang perlu kita titikberatkan dan bincang secara ilmiah bukan polemik politik," jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS