Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jimmy Palikat penuhi hasrat arwah bapa, bertanding PRN Sabah
Diterbitkan:  Sep 12, 2020 8:35 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Meskipun kehilangan bapanya dua hari lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Anak Kampung, Jimmy Palikat tetap meneruskan hasrat bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah ini.

Jelasnya, hal itu merupakan permintaan bapanya supaya dia bertanding di DUN Tambunan sebagai calon bebas.

“Saya meneruskan bertanding kerana ia merupakan permintaan ayah sebelum ini. Dia malah memberikan saya restu untuk bertanding di pilihan raya negeri ini. Dia nak lihat saya sebagai calon tetapi tak dapat.

“Sebelum ayah pergi tinggalkan kami di hospital, saya berbisik suruh dia bertahan tetapi ini mungkin takdir yang dia akan meninggal dunia. Saya akan teruskan juga kerana ini adalah permintaannya,” katanya seperti dipetik laporan FMT hari ini.

Penyanyi itu dilaporkan hadir ke Dewan Serbaguna Tambunan pagi tadi bagi menyerahkan borang pencalonannya.

Sebelum ini, Jimmy berkata hasratnya bertanding kerana dia mahu membantu masyarakat yang dalam kesusahan.

Sementara itu, kata Jimmy, ahli keluarganya turut memberi sokongan atas keputusannya untuk bertanding.

Tambahnya, dia akan mula berkempen selepas upacara berkabung ayahnya selesai.

“Mereka semua faham dan sokong saya. Sama ada menang atau kalah itu tidak kisah. Saya akan sentiasa berikan yang terbaik.

“Untuk beberapa hari ini, saya akan berkabung. Selepas itu saya akan mula berkempen,” katanya.

Jimmy, anak jati Tambunan akan berentap dalam pertembungan enam penjuru berdepan timbalan menteri kerajaan persekutuan Jeffrey Kitingan (Star) dan calon parti lain Laurentius Nayan Yambu (Upko), Sylvernus Bruno (PBS), Damian Richard Marcus Podtung (Parti Cinta Sabah), dan Nordin Jani (Parti Gagasan Rakyat Sabah).

Penyanyi dan komposer itu akan bertanding menggunakan lambang "pokok."

 

Lihat Komen
ADS