Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
JKPP arah kerja pemasangan dinding SUKE dihenti

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengarahkan kerja-kerja pemasangan dinding parapet Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta merta berikutan kejadian kepingan konkrit menghempap sebuah kereta, semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata arahan itu dikeluarkan supaya siasatan komprehensif dapat dijalankan oleh JKKP bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya ia juga bertujuan menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan 1994.

"Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam," katanya.

Awang yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.

Selain itu, Awang berkata Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 (OSHCIM) juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan termasuklah pelanggan (klien), pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja bermula daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan.

"Kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan," katanya.

Menurut laporan media, kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE, terjatuh menghempap kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang dipandu seorang wanita di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun, mangsa berusia 25 tahun itu diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS