Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 beradik, pengurus bengkel jentera berat dibenar diikat jamin

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, masing-masing dibenarkan diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik - Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 50 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel berkenaan, Ho Voon Leong, 59, terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Beliau turut memerintahkan kelima-lima lelaki itu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan memberi amaran sekiranya mereka melakukan kesalahan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan menarik perintah jamin itu.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata beliau mengambil kira faktor seperti keseriusan kesalahan dihadapi kesemua tertuduh selain faktor kesihatan mereka serta bahaya yang menanti sekiranya kesalahan diulangi.

"Ini adalah kes serius yabng mendapat perhatian ramai, oleh itu mahkamah membenarkan semua yang tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM400,000 tiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan kesemua tertuduh perlu serahkan pasport kepada mahkamah, dan jika kesalahan dilakukan ketika dalam tempoh jaminan, mahkamah akan tarik balik jaminan," katanya.

Kesemua tertuduh pada 17 Sept lepas, memfailkan semakan terhadap keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Syafeera Mohd Said.

Pada 15 Sept lepas, mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen itu atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat Shah Alam antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili kesemua tertuduh dalam hujahnya berkata, anak-anak guamnya seharusnya dibenarkan diikat jamin kerana tiada keterangan atau bukti yang menunjukkan bahawa mereka akan melarikan diri dan menganggu saksi.

"Responden (pihak pendakwaan) turut membangkitkan mengenai kes lama membabitkan syarikat Yip Chee Seng yang dikompaun oleh Jabatan Alam Sekitar, namun kami menghujahkan isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan pada peringkat ini dan sepatutnya selepas sabitan. Tambahan pula, kes lama itu membabitkan syarikat bukan tertuduh, ia entiti perundangan yang berbeza sama sekali, tiada kena mengenai dengan tertuduh.

"Pihak kami turut memohon mahkamah mengambil kira keselamatan tertuduh, kesemuanya berumur 50 tahun ke atas yang ditahan di Penjara Bentong, apabila terdapat kira-kira 80 banduan diletak dalam kuarantin kerana COVID-19, selain keadaan dalam setiap sel ada antara 20 ke 30 orang, tiada penjarakan sosial (fizikal)," katanya dan menambah kesemua tertuduh turut mengalami masalah kesihatan yang memerlukan mereka bergantung sepenuhnya kepada rawatan dan ubat.

Akberdin berkata meskipun kesalahan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkannya dan pihaknya memohon jumlah ikat jamin yang munasabah selain setiap tertuduh bersedia membayar jaminan RM100,000.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah pula berhujah, meskipun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin, mahkamah perlu meneliti keseriusan kes itu yang telah menyebabkan 1.2 juta pengguna akaun air terjejas.

"Kelima-lima tertuduh juga perlu dikenakan syarat tambahan yang ketat dalam jaminan dan sekiranya mahkamah membenarkan mereka diikat jamin, mohon mahkamah mengguna pakai cadangan jumlah jaminan yang sama seperti dikemukakan di Mahkamah Sesyen (RM2 juta bagi setiap tertuduh)," katanya yang dibantu timbalan pendakwa raya Noor Husnita Mohd Radzi.

Media sebelum ini melaporkan, susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 Sept lepas, empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

- Bernama

Lihat Komen
ADS