Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Adham, Noor Hisham di KLIA, KLIA2 awal pagi tinjau kesesakan
Diterbitkan:  Sep 28, 2020 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Menteri Kesihatan Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berada di KLIA dan KLIA2 awal pagi ini, di tengah-tengah barisan panjang penumpang yang sedang menunggu untuk ujian Covid-19.

Keadaan itu ekoran arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewajibkan para penumpang dari Sabah - yang menyaksikan meningkatnya kes Covid-19 - untuk mengadakan ujian saringan.

Mereka juga ditanda dan diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.

Bagaimanapun, hari pertama pelaksanaan arahan itu semalam tidak berjalan lancar ekoran kekurangan petugas dan peralatan dari KKM sehingga menyebabkan koridor lapangan terbang terlalu sesak.

Beberapa penumpang berkata mereka terpaksa menunggu lebih tiga jam dan dengan lebih banyak ketibaan dari Sabah, ada yang menunggu sehingga enam jam.

Adham dan Noor Hisham berada di lapangan terbang pada jam dua pagi tadi di saat barisan menunggu masih panjang.

“Adham meninjau kesesakan yang dialami mereka dari Sabah yang tiba di KLIA dan KLIA2

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas.

"Beliau berterima kasih kepada semua petugas KKM atas komitmen mereka," menurut kementerian itu di Twitter.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut berkongsi gambar Adham dan Noor Hisham di lapangan terbang itu menerusi di Facebook.

“Adham dan Noor Hisham ada bersama kami sejak awal pagi tadi untuk melihat perkembangan ujian saringan.

“Terima kasih atas dedikasi dan komitmen anda untuk memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian saringan berjalan lancar.

"Kami gembira untuk bekerja dengan semua pihak dalam memudahkan proses untuk penumpang kami," kata MAHB.

Minister of Health Dato’ Sri Dr Adham Baba and DG Tan Sri Dr Noor Hisham are here with us early this morning to check...

Posted by Malaysia Airports on Sunday, 27 September 2020

Tempoh menunggu lama yang dihadapi penumpang yang letih dan lapar telah menimbulkan kekecewaan, selain kebimbangan sukarnya mengamalkan penjarakan fizikal ekoran keadaan yang sesak.

Menurut MAHB, pihaknya akan mengambil langkah untuk mengurangkan kesukaran yang dihadapi mereka yang menunggu.

“Anak syarikat kami Eraman sedang bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mengagihkan makanan buat penumpang yang tiba dari Sabah,” katanya.

Semalam, sejumlah 150 kes baru Covid-19 dilaporkan dengan kebanyakannya - iaitu 124 kes - adalah di Sabah.

Sekurang-kurangnya 15 kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang,Johor dan Melaka juga dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Keadaan ini sebaik tamatnya PRN Sabah pada Sabtu lalu dengan ramai pihak yang terlibat mula pulang ke semenanjung.

Lihat Komen
ADS