Malaysiakini
SENI & HIBURAN

M Daud Kilau harap ihsan segera

Nadia Azam

Diterbitkan

Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan memaksa penyanyi veteran M Daud Kilau menghantar isyarat 'SOS' untuk mendapatkan kerusi roda dengan kadar segera.

Katanya yang terkenal dengan jolokan Raja Gelek itu jika boleh, biarlah kerusi roda itu dipinjamkan saja kepadanya dan akan dipulangkan selepas pemergiannya.

“Kesihatan saya semakin merosot selepas mengidap komplikasi buang air kecil pada 2016. Selain kencing manis, kebas kaki dan tangan, sekarang, telinga juga sudah pekak sebelah.

“Jantung pun tak berapa stabil. Kesihatan saya kini ibarat 50-50. Justeru, seandainya ada pihak sudi tampil menghulurkan bantuan kerusi roda, saya amat bersyukur.

“Jika nak pinjamkan saja kerusi roda itu pun tak apa, nanti bila saya sudah tiada, ambillah balik,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

M Daud Kilau atau nama penuhnya Muhammad Daud Kilau kini menetap di kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak.

Penyanyi lagu popular Cek Mek Molek itu mengalami masalah kesihatan seperti jantung, kencing manis dan sakit pinggang.

M Daud Kilau, 82, berkata, seboleh-bolehnya, dia berharap kerusi roda itu jenis berkuasa elektrik bagi memudahkannya untuk bergerak tanpa memerlukan bantuan orang lain.

“Jika dapat jenis yang menggunakan elektrik lebih mudah kerana dapat membantu saya ke sana ke mari terutama untuk ke surau.

“Sekarang saya perlu dipapah anggota keluarga untuk ke bilik air manakala mendirikan solat pula dalam keadaan duduk,” katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan