Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kaedah baru berkempen diperlukan di Batu Sapi, kata MMA

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini menegaskan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah harus diteruskan meskipun banyak pihak menggesa agar ia ditangguhkan kerana peningkatan kes Covid-19.

Menurut kata pakar perlembagaan, satu-satunya keadaan pilihan raya dapat ditunda melebihi tempoh 60 hari adalah darurat. 

Menyuarakan kebimbangan senada dengan orang awam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut berasakan isu mengadakan PRK tidak sepatutnya timbul buat masa ini, ketika penularan kes Covid-19 semakin buruk terutamanya di Sabah.

Namun, dalam keadaan PRK tidak dapat ditangguhkan, Presiden MMA Prof Dr Subramaniam Muniandy menegaskan kerajaan harus bertanggungjawab dan bersedia mengambil langkah ketat bagi menjalankan norma baru.

Katanya, ujian saringan rambang perlu dilakukan bagi mengesan kes dalam komuniti sebelum bermulanya tempoh kempen.

Untuk berkempen pula, kata Subramaniam, semuanya mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita patut hentikan mana-mana perhimpunan politik yang besar-besar atau acara yang akan menarik kedatangan orang ramai kerana kehadiran mereka boleh menjadi masalah (jangkitan).

“Lebih baik kalau kita hadkan hanya ahli politik yang bertanding di Batu Sapi sahaja yang boleh berkempen di sesebuah kawasan.

“Ahli politik lain - kalau nak berkempen - boleh, tapi melalui kenyataan media atau secara dalam talian saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Gagal dipatuhi dengan baik

Buat masa ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan arahan kawalan pergerakan rentas daerah di Sabah dari 3 Okt hingga 16 Okt, kecuali di empat daerah yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bersasar, iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak. 

Menurut SOP itu, pergerakan rentas daerah adalah dilarang, kecuali perkhidmatan perlu dan kes kecemasan, itu pun dengan kebenaran polis.

PRK Batu Sapi diadakan susulan kematian ahli parlimennya, Liew Vui Keong pada 2 Okt.

Ia menimbulkan kegusaran banyak pihak memandangkan tempoh kempen selalunya akan melibatkan ceramah yang akan dihadiri ramai orang, selain lawatan dari rumah ke rumah oleh calon bertanding.


Baca Larangan rentas daerah Sabah: Yang dibenarkan, yang dilarang


Kegusaran itu berpunca daripada lonjakan kes Covid-19 selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang tamat pada 26 Sept lalu. Ia menyumbang kepada gelombang ketiga kes Covid-19 di semenanjung dan Sabah, yang bukan berpunca dari kluster penjara.

Sepanjang PRN lalu, meskipun SOP ketat telah disediakan, banyak kejadian menunjukkan ia gagal dipatuhi dengan baik, terutamanya dari aspek penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka sepanjang masa oleh calon, jentera kempen dan orang ramai.

Pilihan raya juga selalunya akan mengundang rombongan jentera dari semenanjung ke Sabah untuk membantu kempen, justeru meningkatkan risiko jangkitan rentas negeri.

Buat masa ini, larangan keluar masuk Sabah hanya akan dikuatkuasakan bermula 12 Okt hingga 25 Okt dan tertakluk kepada perubahan oleh kerajaan.

Liew Vui Keong

Namun, seperti diumumkan semalam, BN menjadi parti pertama mengumumkan tidak akan menyertai PRK Batu Sapi dengan mengambil iktibar lonjakan kes selepas PRN Sabah, dan "demi mengutamakan kesejahteraan dan kesihatan rakyat". 

Langkah sama diumumkan Parti Cinta Sabah (PCS) yang menyifatkan negeri itu tidak mampu menanggung satu lagi penularan Covid-19 sambil mendakwa SOP KKM untuk PRN lalu gagal membendung penularan virus berkenaan.

Kata Subramaniam, ahli politik mesti akur bahawa cara baru berkempen adalah diperlukan dalam norma baru ini.

Menurutnya menganjurkan ceramah dan melawat kawasan secara berkumpulan hanya akan meningkatkan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi.

“Kita mesti belajar daripada PRN Sabah yang baru selesai bagi memastikan kesilapan dan isu yang timbul semasa (PRN) itu tidak diulangi di Batu Sapi, atau mana-mana pilihan raya yang diadakan pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham menjangka lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan di Sabah pada minggu ini susulan gelombang ketiga wabak berkenaan yang melanda negara.

Semalam, sebanyak 375 kes baru Covid-19 dicatatkan termasuk empat kes import serta lima kematian, dan Sabah kekal sebagai negeri yang mencatatkan peningkatan kes tertinggi iaitu sebanyak 271 kes.

Jumlah kes keseluruhan kini sebanyak 14,368.

Lihat Komen
ADS