Malaysiakini
BERITA

Agong: Anwar tidak senarai nama MP yang sokongnya

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Okt 2020, 7:13 pagi

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam majlis menghadap pagi tadi telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada dirinya.

Walaubagaimanapun, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, presiden PKR itu tidak mengemukakan senarai nama mereka.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.

Anwar pada sidang media sebentar tadi, berkata dia telah mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 ahli parlimen buatnya kepada Seri Paduka dalam pertemuan pagi tadi.

Namun, katanya memandangkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti-parti politik, maka “munasabah untuk kita bersabar, memberi ruang dan wewenang untuk baginda memutuskan.”

Menurutnya, tidak wajar ditetapkan masa untuk Seri Paduka membuat keputusan.

Sesi menghadap hari ini sepatutnya dijadualkan pada 22 September lalu tetapi ditangguhkan susulan kegeringan Al-Sultan yang terpaksana menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Ahmad Fadil juga memaklumkan Seri Paduka turut menyentuh mengenai perkembangan semasa penularan wabak Covid-19 di seluruh negara, khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa esok.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran dan menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

“Walaupun perkembangan terkini agak membimbangkan berikutan kenaikan yang berterusan tiga digit kes positif harian Covid-19 serta kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

Kata Ahmad Fadil, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa (semi-lockdown) yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menurutnya, Seri Paduka amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.