Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
8 pengadil kena tindakan tatatertib FAM
Diterbitkan:  Oct 15, 2020 11:51 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Seramai lapan pengadil telah dikenakan pelbagai tindakan pada musim ini, termasuk penggantungan mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di antara dua minggu hingga sebulan selepas dikatakan membuat keputusan tidak konsisten dalam sesebuah perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Md Dali Wahid berkata lapan pengadil berkenaan telah direhatkan daripada perlawanan Liga-M musim ini, diberikan amaran keras dan berdepan hukuman diturunkan ke liga bawahan sekiranya masih mengulangi kesalahan sama.

"Kita mendapati prestasi lapan pengadil itu tidak mencapai tahap yang kita hendaki," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan buat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya, di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau memaklumkan hanya empat pasukan Liga-M yang membuat aduan rasmi kepada jawatankuasa berkenaan iaitu UiTM FC, Terengganu FC, Sabah dan Petaling Jaya City FC, manakala lain-lain pasukan menggunakan media massa untuk meluahkan kekecewaan mereka dengan prestasi pengadil.

Dalam pada itu, Md Dali memaklumkan, lebih daripada 32 pengadil bakal terlibat pada pertandingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung dari 6 hingga 22 Nov ini.

Tanpa mendedahkan jumlah sebenar, beliau berkata jumlah berkenaan dijangka bertambah mengikut keperluan sesebuah perlawanan.

Beliau turut memaklumkan penggunaan enam pengadil termasuk dua penolong pengadil di belakang garisan gol yang diperkenalkan pada aksi suku akhir Piala Malaysia pada musim lepas, akan terus dikekalkan untuk peringkat yang sama pada kempen Piala Malaysia berkenaan pada musim ini.

"Insya-Allah, pada saingan Piala Malaysia, kita akan menggunakan 10 pengadil baru, namun bukan sebagai pengadil utama, tetapi sebaliknya sebagai penolong pengadil satu dan sebagainya untuk mereka menimba pengalaman terlebih dahulu," jelas Md Dali.

- Bernama

Lihat Komen
ADS