Malaysiakini
BERITA

Ahli parlimen BN bermesyuarat hari ini

Kow Gah Chie & B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Okt 2020, 7:15 pagi

Ahli-ahli parlimen BN bermesyuarat hari ini susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Hari ini (bincang) semua (perkara).

“Jadi mesyuarat hari ini, jika ada sebarang keraguan kita boleh tanya apa saja,” kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin di bangunan Umno di Kuala Lumpur.

Anggota parlimen Padang Besar itu berkata, mereka akan membincangkan situasi semasa, penolakan perintah darurat oleh Agong dan pandangan BN.

Zahidi juga berkata mereka akan membincangkan bagaimana membantu rakyat yang terjejas dengan Covid-19.

Zahidi Zainul Abidin

Mengulas sokongan terhadap Muhyiddin, dia berkata mereka masih bersama perdana menteri.

Dia tidak bersetuju dengan gesaan anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi supaya Muhyiddin meletakkan jawatan setelah cadangannya ditolak Agong semalam.

Antara yang dilihat hadir termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, anggota parlimen Pasir Salak MP Tajuddin Abdul Rahman dan timbalan speaker Dewan Rakyat yang juga anggota parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

The Vibes melaporkan ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim mencadangkan pertemuan anggota parlimen BN.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 12.30 tengah hari itu dimulakan tanpa sebahagian anggota parlimen BN yang juga menteri kabinet kerana menghadiri mesyuarat khas kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin sejak pagi tadi.

Beberapa menteri kabinet BN bergegas ke PWTC dari Pejabat Perdana Menteri selepas mesyuarat kabinet.

Mereka adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Nasarah; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa; Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein; Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.