Paling Popular
Terkini

ULASAN l Saya ingin menyambung bicara saya mengenai Anwar Ibrahim yang masih berusaha untuk menjadi perdana menteri, suatu jawatan yang diidam-idamkannya sejak sekian lama.

Empat bulan dulu, saya telah nyatakan bahawa Anwar boleh menjadi perdana menteri dengan bantuan Najib Razak. Nampaknya, ia hampir menjadi kenyataan baru-baru ini jika bukan kerana gencatan politik.

Sebenarnya halangan utama Anwar menjadi perdana menteri bukannya datang dari kumpulan politik, tetapi suatu kumpulan yang terdiri daripada beberapa kategori.

Pertama, kumpulan pesara eksklusif teknorat Melayu. Kedua, kumpulan Melayu-Islam radikal yang menolak Islam moderate-liberal Anwar.

Ketiga kumpulan fundementalis Dr Mahathir Mohamad dan terakhir kumpulan lokal yang menolak Anwar kerana dikatakan bersekongkol dengan DAP.

Keempat-empat kumpulan ini turut dibincangkan oleh kumpulan pemikir RAND Corporation di Amerika Syarikat.

Namun begitu, persoalan yang lebih besar ialah apakah rakyat Malaysia boleh nikmati jika Anwar menjadi perdana menteri?

Semasa saya di perantauan, saya agak kaget kerana apabila saya menaiki teksi di Amerika Syarikat atau bercerita di kedai kopi pada musim bunga, majoriti rakyat negara itu lebih mudah serta spontan menyebut nama Anwar berbanding pemimpin lain.

Contohnya, “kamu dari Malaysia?”, “Apa khabar Anwar Ibrahim?”, “kamu tahu Anwar itu mangsa politik”.

Jiran-jiran baharu saya dari Somalia, Arab Saudi, Mesir, Maghribi, Libya dan Singapura juga lebih enak menyebut nama Anwar berbanding, misalnya perdana menteri paling lama di negara kita. Persoalan ini bikin pening minda saya.

Di peringkat lebih tinggi, Anwar dikatakan mempunyai kenalan yang berpengaruh. 

Sebagai contoh, di Jabatan Negara dan Pentagon suatu ketika dahulu, kenalan rapatnya adalah seperti bekas timbalan setiausaha pertahanan, Paul Wolfowitz, dan bekas naib presiden, Al-Gore.

Ini, termasuklah mereka yang sangat rapat dengan Rumah Putih seperti Carl Gershman dari NED, Andrew Natsios dari USAID, Lorner Carner dari IRI dan banyak lagi.

Rakyat Malaysia ramai yang beralih arah daripada menyokong Anwar kerana mereka dimomokkan perubahan drastik Anwar yang dulunya Islam fundementalis telah berubah kepada reformis liberal atau di barat digelar moderate Muslim.

John Esperito dalam bukunya Anwar Ibrahim: Evolution of a Muslim Democrat menjelaskan perubahan ini berlaku selari dengan perubahan arus politik di Malaysia.

Berbalik kepada isu ekonomi negara khususnya kempen boikot kelapa sawit di Amerika Syarikat. Saya fikir, jika Malaysia mengambil peluang kekuatan hubungan antarabangsa Anwar dengan Amerika Syarikat,Turki dan negara-negara Eropah, isu sawit mungkin boleh diselesaikan dengan lebih mudah.

Saya melihat kempen boikot itu bukannya dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat pun, melainkan oleh pelobi-pelobi industri kacang soya dan jagung di sana. Iaa dibantu pula oleh pelobi-pelobi yang digelar kumpulan white supremacy yang sekarang menguasai pelobi-pelobi di Rumah Putih.

Misalnya, jika di dalam pasaraya Amerika Syarikat tiada dijual minyak kelapa sawit, mengapa di pasaraya Asia di Amerika Syarikat ada dijual?

Jika di dalam pasaraya yang sama ada dijual Milo buatan Singapura kenapa tiada dijual Milo buatan Malaysia? Ataupun, jika daun pisang tidak dijual di pasaraya Amerika Syarikat kenapa daun pisang dari Vietnam boleh dijual di pasaraya Asia di Amerika Syarikat?

Isu-isu ini menunjukkan kelemahan berlaku di peringkat pemasaran bukan semata-mata polisi kerajaan. Mengapa seluar jenama jeans 501 Levi buatan Malaysia tidak boleh masuk ke pasaran Amerika Syarikat tetapi jeans 501 buatan Bangladesh dijual secara besar-besaran di Amerika Syarikat?

Kita gagal bersaing di dalam sistem perdagangan antarabangsa di mana penawaran dan permintaan dunia bergerak pantas.

Dalam aspek nation building, kita masih terkapai-kapai dengan polisi perpaduan yang tidak pernah tuntas. Misalannya, saya yakin jika Anwar menjadi perdana menteri, Anwar boleh mengubah polisi bahasa kebangsaan daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia.

Dari segi ekonomi pula, sejak 2015 matawang ringgit berbanding dolar kekal berada di paras rendah RM1.00=AS$4.30. Ia berlaku kerana harga minyak dunia sejak 2015 tidak pernah stabil dalam jangka masa yang panjang sehingga ke hari ini. OPEC sendiri gagal menjadi orang tengah dalam menstabilkan pasaran minyak dunia.

Kebergantungan Malaysia kepada Petronas sangat tinggi tetapi juga turut terjejas dengan permainan harga minyak dunia yang dimonopoli oleh negara-negara kuasa minyak iaitu Amerika Syarikat, Russia, Arab Saudi dan kini China Oil Company.

Kawan-kawan lama saya yang sangat kritis kepada Anwar bertanya, adakah Anwar mampu melakukannya? Jawapan saya, Anwar belum menjadi perdana menteri! Mungkin Anwar boleh membawa masuk Malaysia ke dalam OPEC?

Kesimpulan

Saya fikir saya telah melakukan yang terbaik untuk Anwar ketika Najib menjadi perdana menteri. Antaranya konsolidasi dengan naib presiden negara jiran hampir-hampir berjaya.

Tujuh tahun dahulu, naib presiden negara jiran menelefon katanya saya melakukan kesilapan kecil di saat kemenjadian sudah hampir pasti. Kaki kanan sudah berjaya.

Hari ini saya mengakui kebenaran itu, satu-satunya yang saya kesali ialah kesilapan kecil itu menyebabkan Anwar tidak menjadi timbalan perdana menteri dan mungkin seterusnya lebih mudah menjawat perdana menteri.

Ia menjadi memori indah saya di Putrajaya. Namun, hari ini saya ingin membuka diskusi ini kepada isu lebih besar iaitu jika Anwar menjadi perdana menteri, apa rakyat Malaysia akan nikmati? Apakah Anwar boleh lebih baik daripada “Abah”?


Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri adalah pakar dalam bidang politik dan kerajaan, dan mempunyai minat yang mendalam kepada proses pembinaan negara bangsa Malaysia, patriotisme dan keselamatan negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS