Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tiada dinyatakan bekas PM bersalah tak layak terima elaun, kemudahan’
Diterbitkan:  Nov 6, 2020 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Jemaah menteri diberi kuasa menurut Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan sebarang elaun, kemudahan dan keistimewaan yang diberikan 

kepada bekas perdana menteri dan tidak ada peruntukan bahawa hak dan keistimewaan itu perlu ditarik balik walaupun pemimpin berkenaan disabitkan kesalahan di mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Labis, Pang Hok Liong yang meminta penjelasan mengenai “keadaan-keadaan istimewa” seorang bekas perdana menteri yang menjadi penjenayah setelah didapati sabit bersalah.

Katanya, di sebalik dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun oleh mahkamah, pemimpin tersebut masih diberikan beberapa keistimewaan seperti pengawal peribadi beberapa orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan polis pengiring bermotosikal.

Walaupun tidak menyebur sebarang nama, Pang jelas merujuk kepada Najib Razak yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas semua tujuh pertuduhan mengenai penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd pada Julai lalu.

“Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif menurut Perlembagaan Persekutuan sememangnya merupakan sebuah institusi yang seharusnya dihormati dan diiktiraf sumbangan baktinya dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perjalanan urusan pentadbiran negara.

“Bertepatan dengan tugas dan tanggungjawab itu dan selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237] telah digubal bagi menggariskan saraan, elaun, pencen dan ganjaran termasuk keistimewaan-keistimewaan lain yang layak diberikan kepada YAB Perdana Menteri termasuk selepas bersara daripada menjadi perdana menteri,” kata Mohd Redzuan.

Dia memetik Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 1971 [Akta 22] yang menurutnya, telah digubal bagi memberikan pencen dan keistimewaan kepada bekas perdana menteri pertama atas sumbangan dan bakti beliau sebagai seorang negarawan dalam membawa Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Mengambilkira institusi perdana menteri yang seharusnya terus dihormati dan diiktiraf sumbangan baktinya, beberapa kemudahan, faedah dan keistimewaan telah ditetapkan berdasarkan peruntukan di bawah Para 21 Akta 237 di mana jemaah menteri diberi kuasa untuk menentukan apa-apa elaun, kemudahan dan keistimewaan kepada bekas perdana menteri.

“Kemudahan dan keistimewaan yang telah ditetapkan oleh jemaah menteri tidak menyatakan secara jelas bahawa bekas perdana menteri yang disabitkan kesalahan di mahkamah tidak layak untuk menikmati elaun, kemudahan dan keistimewaan yang telah disediakan tersebut,” katanya.

November lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias mengesahkan Najib masih boleh memohon penggunaan pengiring trafik bermotosikal untuk urusan rasmi dan bukan untuk urusan peribadi atau parti.

Namun baru-baru ini, bekas perdana menteri itu dikesan terus menggunakan keistimewaan tersebut semasa pilihan raya kecil Slim pada September lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS