Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pendedahan 32% pencarum hanya ada kurang RM5,000 mengejutkan’

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail meluahkan rasa terkejutnya dengan pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa 32 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai RM5,000 dan ke bawah di dalam akaun 1 masing-masing.

Kata Azan, pendedahan itu juga bermakna ia boleh melumpuhkan transaksi dalam sesebuah rumah tangga.

"Ini satu berita yang sangat mengejutkan. Maknanya, kalau kita benarkan pengeluaran RM500 sebulan, ini bermaksud dalam beberapa bulan sahaja duit itu akan habis.

"Jadi, perkara ini sangat menakutkan dan sebab kalau satu per tiga ini bermakna dia boleh melumpuhkan transaksi dalam satu rumahtangga.

"Kita andaikan dalam satu isi rumah ada satu pencarum KWSP, tapi kalau simpanan dalam akuan 1 mereka itu kurang RM5,000 bermakna hanya beberapa bulan sahaja keupayaan dia untuk menggunakan wang itu bagi tujuan, sama ada membayar bil elektrik atau pun telefon dan sebagainya, yang dalam masa yang sama habis simpanan dia dalam akaun 1," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Azan tidak menjelaskan lebih lanjut apakah langkah yang perlu diambil kerajaan dalam menangani perkara itu.

Baru-baru ini, kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan dari akaun 1 KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan sebagai langkah mengurangkan beban akibat kesan penularan wabak Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

KWSP pula dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang memperhalusi dan menambah baik kemudahan pengeluaran akaun 1 yang disasarkan seperti diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul ketika diwawancara pada 8 Nov lalu mendedahkan 32 peratus pencarum KWSP hanya mempunyai RM5,000 dan ke bawah di akaun 1 mereka.

Manakala 10 peratus pencarum pula mempunyai antara RM5,000 dan RM10,000 dalam akaun 1.

Sementara itu, data daripada KWSP juga menunjukkan 42 peratus pencarum mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun 1.

“Ini salah satu isu struktur yang perlu ditangani kerana jaringan keselamatan sosial itu penting, kerajaan kena fikir untuk jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Lihat Komen
ADS