Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kenapa kes Covid-19 masih tinggi walaupun PKPB?

Malaysia secara rasminya mencatat sebanyak 58,847 kes Covid-19, setakat semalam (24 Nov).

Negara kita yang pernah isytihar oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara negara yang berjaya mengawal penularan Covid-19 pada Mac 2020, nampaknya tidak berjaya dalam pengawalan gelombang ketiga.

Persoalanya, apakah punca utama yang menyebabkan kita gagal dalam usaha memerangi pandemik tersebut?

Pastinya kebanyakan kita berpendapat pilihan raya Sabah merupakan faktor utama penularan gelombang Covid-19 di negara kita.

Oleh yang demikian, kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 14 Oktober di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, dan seterusnya di semua negeri di semenanjung pada 9 November (kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang).

Namun begitu, kes-kes Covid-19 masih berleluasa, dan telah mencatat rekod jumlah kes harian tertinggi, sebanyak 2,188 kes pada 24 Nov!

Apa yang telah berlaku sehingga kes Covid-19 semakin tinggi walaupun kita masih dalam PKPB? Adakah masyarakat telah leka?

Terdapat segelintir masyarakat yang mula mempersoalkan keberkesanan PKPB mengawal penularan Covid-19.

Pada pendapat saya, dua faktor utama yang menyumbangkan kepada penularan Covid-19, iaitu kekurangan kesedaran tanggunjawab individu dan kekurangan keberkesanan pihak penguat kuasa.

1. Kurangan kesedaran terhadap tanggungjawab individu

Setiap individu memainkan peranan penting dalam usaha mengawal penularan pandemik ini.

Kesedaran tanggungjawab dan disiplin diri yang tinggi perlu dimiliki oleh setiap individu dalam masyarakat kita, dan merupakan pengerak utama masyarakat mematuhi peraturan dan standard operasi piawai (SOP) yang telah disediakan oleh pihak pentadbir.

Namun, masyarakat kita nampaknya kekurangan kesedaran tanggungjawab dan disiplin individu yang tinggi.

Setiap hari, ratusan individu yang didenda sebab melanggar peraturan atau SOP. Ini merupakan punca utama kegagalan kita memutuskan rantai jangkitan Covid-19 di negara kita.

Sebagai contoh, masih terdapat segelintir individu yang enggan memakai pelitup muka walaupun mereka memahami tentang kepentingannya dalam usaha mencegah jangkitan Covid-19.

PKPB telah diperkenalkan oleh kerajaan sebagai usaha memilih titik keseimbangan antara kesihatan rakyat, kebebasan individu dan ekonomi negara.

Tetapi, ramai yang telah menyalahgunakan kebebasan yang diberikan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Kesemua ini berpunca daripada kekurangan kesedaran tanggungjawab individu. Ini telah menyebabkan PKPB gagal mengawal pergerakan individu dan justeru itu gagal mencegah penularan pandemik Covid-19.

Sepatutnya setiap pelosok masyarakat harus mamahami dan ikut nasihat ketua pengarah kesihatan yang sentiasa menyeru kita duduk di rumah, dan hanya keluar apabila ada urusan penting sahaja; dan mematuhi SOP apabila berada di tempat awam.

Dengan ini, pastinya kita akan berjaya memutuskan rantai jangkitan Covid-19 di negara kita. Namun, adakah setiap rakyat mengikuti nasihat tersebut?

Kegagalan individu mematuhi SOP di tempat kerja merupakan faktor utama penularan kes Covid-19 di kalangan masyarakat kita.

Kesemua ini berpunca daripada tiada disiplin dan tanggunjawab individu.

Setakat ini, sebanyak 119 kluster adalah berkaitan dengan tempat kerja dan 89 masih aktif sehingga kini. Kesemua kluster tersebut melibatkan kumulatif kes seramai 12,079 kes.

Sekiranya kluster yang berkaitan dengan tempat kerja tidak berlaku, pastinya kumulatif kes Covid-19 negara akan rendah.

2. Kekurangan keberkesanan pihak penguat kuasa


Keberkesanan pihak penguat kuasa adalah penting dalam usaha mencegah penularan pandemik ini, terutamanya di kalangan masyarakat kita yang kekurangan kesedaran tanggungjawab dan disiplin individu.

Namun, terdapat banyak kekurangan pihak penguat kuasa kita yang menyebabkan kegagalan usaha kita memutuskan rantai jangkitan pandemik.

Pihak penguat kuasa yang memilih kasih dan tidak tegas merupakan faktor utama yang menyumbang kepada ketidakberkesanan penguat kuasa peraturan yang telah ditetapkan.

Terdapat individu yang bertaraf VIP telah diberi kelonggaran tertentu, seumpamanya terlepas kuarantin yang sepatutnya dilaksanakan.

Ini memberi suatu teladan yang tidak baik dan gagal memberi pengajaran yang sewajarnya kepada masyarakat kita.

Persoalannya, adakan rakyat akan mematuhi peraturan dan SOP sekiranya terdapat double standard dalam penguatkusasaan undang-undang?

Kegagalan pihak penguat kuasa mengenal pasti potensi penularan jangkitan Covid-19 di kluster Teratai menyumbang kepada peningkatan kes.

Kuster tersebut telah dikenal pasti pada 7 November dan langkah yang tegas tidak diambil dengan sewajarnya.

Setakat kini, seramai 4,036 kes dikesan positif daripada 5,777 saringan daripada kluster tersebut.

Sepatutnya tindakan yang lebih tegas perlu diambil dari awal, seperti PKPD, saringan lebih awal pekerja industri yang terlibat, dan mengetatkan SOP industri tersebut.

Semoga kita dapat memutuskan rantai jangkitan Covid-19 dengan azam yang kuat, dengan syarat setiap pelapis masyarakat memainkan peranan masing-masing dan memikul tanggungjawab yang diberikan.

Semoga segala pengorbanan masa dan tenaga barisan hadapan, terutamanya barisan penjaga kesihatan, dapat diberkati oleh hasil kejayaan memutuskan rantai jangkitan Covid-19 di negara kita. 


DR CHEW KAH TEIK ialah pensyarah perubatan dan pakar obstetrik dan ginekologi daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS