Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan batal warta LTTE pengganas dibawa ke Mahkamah Rayuan

Permohonan seorang pemandu teksi untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Ia difailkan V Balamurugan bulan lalu, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakimannya pada September.

Peguamnya Muhammad Farhan Ahmad Fafzil hari ini mengesahkan kepada Malaysiakini yang pemfailan rayuan itu dibuat pada 9 Oktober.

"Notis Rayuan difailkan pada 9 Oktober," katanya, sambil menambah pengurusan kes secara dalam talian dengan Mahkamah Rayuan ditetapkan pada 2 Disember.

Pemeriksaan pada senarai di ecourtservices.kehakiman.gov.my menunjukkan pengurusan kes dalam talian dengan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada pukul sembilan pagi hari tersebut.

Pada 17 September, hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya menolak permohonan semakan kehakiman Balamurugan, yang menyenaraikan kerajaaan dan menteri dalam negeri sebagai responden.

Ketika itu, seorang lagi peguam Balamurugan, Omar Kutty berkata hakim memutuskan ada penundaan dalam permohonan semakan kehakiman kerana hal seumpama itu perlu dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas pewartaan.

LTTE diwartakan sebagai kumpulan pengganas pada 2014.

Pada 8 Januari lalu, Balamurugan, 38, memfailkan permohonan memulakan semakan kehakiman agar butiran mengenai LTTE dalam warta itu sebagai batal dan tidak sah, dan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas sebagai tidak sah.

Dia antara 12 individu yang ditawan dan didakwa atas tuduhan menyokong LTTE pada akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, pada 21 Februari, peguam negara ketika itu Tommy Thomas menggugurkan pertuduhan terhadap mereka.

Lihat Komen
ADS