Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam gesa kematian Teoh disiasat bawah kesalahan serius
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Badan Peguam Malaysia tidak bersetuju dengan keputusan pihak polis membuka semula siasatan mengenai kematian Teoh Beng Hock di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan salah).

Dalam satu kenyataan malam ini, presidennya Salim Bashir menggesa pihak berkuasa menyiasat kes tersebut di bawah kesalahan yang lebih serius berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan September 2014.

"Panel tiga anggota memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh banyak kecederaan akibat jatuh dari tingkat 14 disebabkan atau dipercepat oleh tindakan tidak sah oleh individu yang tidak dikenali, yang mungkin termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat Teoh.

"Kami berharap berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan dan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kematian Teoh, AGC dapat mempertimbangkan untuk mengklasifikasikan semula kes itu dan menyiasatnya dengan kesalahan yang lebih serius," katanya.

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan di parlimen berkata polis telah membuka semula siasatan mengenai kematian Teoh, yang ditemui mati 11 tahun yang lalu, di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Kementerian itu Dalam Negeri memaklumkan kertas siasatan sebelum ini telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 24 Feb dan polis diberitahu untuk meneruskan siasatan.

“PDRM diminta mengemukakan kembali kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara setelah siasatan lengkap dijalankan.

“Polis telah menjalankan rakaman percakapan ke atas 13 orang saksi dan siasatan masih berjalan,” kata kementerian itu dipetik Bernama.

Teoh ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, setelah  ditemubual oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama.

Teoh ketika itu adalah setiausaha politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga Adun Seri Kembangan.

Pada 18 Nov tahun lalu, PDRM menubuhkan pasukan siasatan khas yang melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Bukit Aman, untuk menyiasat semula kes itu berikutan arahan daripada AGC pada 16 Julai 2019.

Kes tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Badan Peguam juga meminta agar siasatan dilakukan terhadap semua kes yang melibatkan kematian dalam tahanan serta kes kematian yang mencurigakan.

"Badan Peguam Malaysia pada Oktober 2020 menyerahkan draf RUU kepada AGC mengenai penubuhan mahkamah koroner bebas.

"Setiap kali berlaku kematian dalam tahanan, hal itu menimbulkan pertanyaan dan menimbulkan minat masyarakat, yang tentunya menarik perhatian media,"kata Salim.

Lihat Komen
ADS