Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

NGO hak pekerja asing menggesa syarikat Top Glove menghentikan semua operasi kilangnya di Meru Klang dan membenarkan pekerja menjalani kuarantin berikutan wabak Covid-19 melibatkan kira-kira 4,000 pekerjanya.

Pengilang sarung tangan itu dibenarkan menghentikan operasi secara berperingkat untuk mengelakkan kerosakan jentera di kilang berkenaan.

"Mereka semua harus dikuarantin berdasarkan situasi ketika ini, tidak dipanggil kembali bekerja untuk memenuhi permintaan pengeluaran," kata pengarah eksekutif Tenaganita Glorene Das.

"Apakah pekerja asing ini 'tidak cukup manusia' untuk dihormati dan diberi perlindungan? Atau apakah industri dan kerajaan terus menganggap mereka sebagai mesin, mempergunakan mereka untuk mencapai tujuan bagi memperoleh keuntungan?" soalnya.

Sehingga 26 Nov, pekerja yang kebanyakannya warga asing terus dibawa ke kilang termasuk dari hotel bajet berdekatan di mana Top Glove menempatkan pekerja mereka.

Pada Rabu dan Khamis, lawatan Malaysiakini ke Jalan Teratai menyaksikan beberapa bas mengangkut pekerja untuk keluar masuk ke kilang berkenaan seperti biasa.

Sebanyak 28 kilang Top Glove di Meru terletak sebelah menyebelah di Jalan Teratai. Kluster jangkitan Covid-19 di situ dikenali sebagai kluster Teratai.

Kira-kira jam 7 malam, beberapa buah bas dilihat, dipercayai mengangkut pekerja yang pulang dari shift siang, manakala beberapa lagi bas menghantar pekerja yang masuk untuk shift malam.

Pekerja berkenaan dilihat keluar masuk di sekurang-kurangnya tujuh buah kilang.

Bagaimanapun pada Rabu lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata hanya satu kilang di Meru yang masih beroperasi.

Dia berkata sebanyak 20 kilang ditutup pada Selasa dan tujuh lagi pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata syarikat itu melakukan penutupan secara berperingkat untuk mengelakkan kerosakan mesin.

Bagaimanapun pengarah eksekutif NGO hak asasi migran, North South Initiative, Adrian Pereira berkata penutupan secara berperingkat menyelamatkan jentera tetapi boleh membahayakan pekerja.

Katanya, ini kerana pekerja kontrak dan pekerja luar seperti pekerja pembersihan terpaksa bekerja sekiranya berlaku penutupan berperingkat.

"Mengapa bahayakan mereka? Sekiranya sebilangan besar pekerja positif (Covid-19), yang terbaik adalah tutup pengeluaran untuk jangka masa tertentu untuk pastikan keselamatan semua pekerja.

"Pengeluaran dan keuntungan sarung tangan tidak boleh diutamakan dengan mempertaruhkan kesihatan semua orang," katanya.

Pekerja tak sedar status kesihatan mereka sendiri

Dalam sidang media pad Rabu, Top Glove berkata kira-kira 500 pekerja ditempatkan di beberapa hotel kerana mereka tidak dapat kembali ke asrama yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Dikatakan pekerja ini adalah mereka yang telah keluar dari hospital atau pusat kuarantin dan dianggap boleh kembali bekerja.

Menurut Kementerian Kesihatan, hanya 455 pesakit dari kluster Teratai yang telah keluar daripada hospital.

Sumber daripada kalangan pekerja Top Glove memberitahu Malaysiakini beberapa pekerja dipindahkan beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan setakat ini tidak menyedari status kesihatan mereka sendiri.

Malaysiakini difahamkan bahawa mereka tidak diberitahu mengapa mereka dipindahkan, atau mengapa mereka berada di hospital atau pusat kuarantin.

Ada yang percaya mereka hanya berada di pusat kuarantin selama lima hari sebelum dipindah ke hotel bajet.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkannnya secara bebas dan telah menghubungi ketua pengarah Kesihatan mengenai perkara itu.

Kementerian Kesihatan menetapkan bahawa individu yang positif Covid-19 perlu diasingkan di hospital atau di pusat kuarantin yang ditetapkan sekiranya tidak memiliki gejala yang teruk sehingga 14 hari.

Sesetengah pekerja berkata mereka bimbang untuk kembali bekerja, tetapi tidak mempunyai pilihan kerana tidak mahu dikenakan tindakan.

Semalam, sekumpulan pekerja yang sekarang ditempatkan di sebuah hotel bajet di Klang dihantar untuk menjalani ujian saringan.

Sebuah bas dengan nama hotel terbabit dilihat mengambil pekerja dari kilang Top Glove di Jalan Teratai selepas habis shift pada petang yang sama.

Malaysiakini telah menghubungi Top Glove untuk mendapatkan respons dan penjelasan lebih lanjut.

Seorang dari kluster Teratai berada ICU

Sehingga kini, 6,526 dari kluster Teratai yang melibatkan pekerja Top Glove telah menjalani ujian saringan.

Daripada jumlah itu, 4,093 diuji positif, termasuk 71 individu bukan pekerja yang dipercayai anggota keluarga pekerja Malaysia.

Sejumlah 3,638 orang sedang dirawat dengan seorang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kurang daripada 10 peratus pekerja Top Glove yang dijangkiti Covid-19 adalah rakyat Malaysia.

Kementerian Kesihatan berkata kira-kira 11,215 orang yang dikaitkan kluster Teratai akan disaring termasuk semua pekerja Top Glove.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS