Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
106 bukan 107 menyokong - Rashid Hasnon
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 11:47 AM
Dikemaskini: 9:25 AM

PARLIMEN l Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa jumlah ahli parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, semalam adalah 106 dan bukannya 107 seperti diumumkan.

Katanya, kesilapan berlaku apabila ahli Parlimen Tasek Gelugor Shahbudin Yahya tersilap menandakan bahawa Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Renggas) turut menyokong RUU itu.

"Saya memberi makluman bahawa saya telah mendapat makluman daripada Shahbudin Yahya, ahli parlimen Tasek Gelugor semalam berkenaan senarai undi bagi blok C bagi undi belah bahagi bahawa beliau telah tersilap menandakan bagi ahli parlimen Padang Rengas bersetuju walaupun ahli parlimen tidak hadir.

"Oleh itu saya meminta keputusan belah bahagi anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan ditukar kepada 18 tidak hadir kepada 19. Dan 107 ahli setuju, kurang satu akan jadi 106. Manakala, 95 ahli kekal tidak setuju.

"Dengan itu, saya memerintahkan setiausaha untuk betulkan bilangan undi tersebut. Dengan perubahan undi tersebut ia tidak menjejaskan keputusan belah bahagian tersebut," kata Rashid ketika membaca kenyataan Speaker Azhar Aziz Harun.

Untuk rekod, Shahbudin adalah ahli parlimen Bersatu merupakan penghitung bagi blok C di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan melalui undian belah bahagi.

Dia juga mengumumkan berdasarkan peraturan mesyuarat, keputusan menunjukkan 107 anggota parlimen menyokong usul peringkat jawatankuasa itu berbanding 95 yang menentang manakala 18 lagi tidak berada di dalam Dewan Rakyat.

Shahbudin Yahya (Bersatu - Tasek Gelugor)

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 ahli parlimen, sebelum itu bangun menyokong RUU itu diputuskan menerusi kaedah berkenaan.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, kementerian kewangan diperuntukkan RM35.1 bilion iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Hari ini, tiga lagi kementerian dijadual menggulung iaitu kementerian luar, kementerian perpaduan negara serta kementerian perusahaan perladangan dan komoditi.

 

Lihat Komen
ADS