Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4-0: Belanjawan Kementerian Perpaduan juga diluluskan melalui undi suara
Diterbitkan:  Dec 1, 2020 2:01 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

PARLIMEN l Dewan Rakyat sebentara tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara melalui undi suara.

Seperti RUU Kementerian Luar, RUU itu turut mendapat sokongan majoriti ahli parlimen tanpa melalui proses undian belah bahagi.

Timbalan Speaker, Azalina Othman Said, memutuskan pengundian dijalankan selepas sesi penggulungan Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique.

Halimah ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya berkata Dasar Perpaduan Negara yang kini di peringkat akhir penyediaannya dijangka dilancarkan tahun depan.

“Kandungan (dasar) ini termasuk Pelan Tindakan Perpaduan berkaitan tindakan terancang yang mahu kita rencanakan supaya rakyat boleh fikirkan peranan tanggungjawab perpaduan sebagai satu kebiasaan, sesuai dalam konteks Malaysia bagi kita mengukuhkan agenda perpaduan.

“Kementerian juga telah bangunkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) iaitu satu petunjuk kepada pengukuran tahap perpaduan nasional yang menjadi sumber rujukan penting kepada kementerian dalam apa jua perancangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Selepas kementerian perpaduan, hanya tinggal satu lagi kementerian yang akan menggulung hari ini iaitu kementerian perusahaan, perladangan dan komoditi.

Setakat ini, belanjawan untuk empat kementerian telah diluluskan - jabatan perdana menteri, kementerian kewangan, kementerian luar dan terbaru kementerian perpaduan negara.

 

Lihat Komen
ADS