Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kos anjur APEC 2020 secara maya sebanyak RM66.6 juta
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

PARLIMEN l Kos penganjuran persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 hanya sebanyak RM66.6 juta sahaja walaupun peruntukan yang disediakan berjumlah RM300 juta bagi tujuan itu untuk tahun ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata peralihan format penganjuran daripada fizikal kepada maya berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan penutupan sempadan negara, telah memberikan penjimatan kos sebanyak RM233.4 juta.

“Hanya RM66.6 juta sahaja digunakan yang meliputi penyaluran kepada tiga kementerian lain berjumlah RM13.1 juta iaitu Kementerian Kewangan (RM7 juta), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (RM4.1 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM2 juta).

“Manakala baki sebanyak RM53.5 juta dibelanjakan bagi penganjuran persidangan APEC di pelbagai peringkat termasuk Mesyuarat Peringkat Menteri berkaitan sektor perdagangan, kesihatan, kewangan, wanita, perusahaan kecil dan sederhana serta keselamatan makanan di samping Mesyuarat-mesyuarat Pegawai Kanan yang bermula seawal Disember 2019,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kos penjimatan bagi penganjuran APEC 2020 itu ditanyakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).

Mohamed Azmin berkata secara keseluruhannya, sebanyak 146 mesyuarat dan program berkaitan di pelbagai peringkat telah diadakan sepanjang tahun penganjuran APEC 2020.

Sebagai kemuncak APEC 2020, Malaysia berjaya menganjurkan Mesyuarat Menteri-menteri APEC dan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC baru-baru ini pada 20 Nov, 2020 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, katanya.

Beliau menjelaskan bagi penganjuran mesyuarat APEC 2020, kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM350 juta serta menetapkan penyaluran peruntukan itu dibuat berdasarkan unjuran perbelanjaan melalui tiga fasa, iaitu RM20 juta bagi 2019; RM300 juta bagi 2020 dan selebihnya RM30 juta untuk 2021.

Penyaluran pada 2019 bertujuan membiayai kerja-kerja persediaan awal, manakala penyaluran pada 2020 untuk menampung penganjuran sebenar persidangan APEC sepanjang 2020.

“Manakala, peruntukan pada 2021 pula bagi menampung pembayaran akhir segala komitmen-komitmen kontrak yang masih berkuat kuasa selepas persidangan APEC 2020 serta menyelesaikan segala proses dokumentasi APEC 2020 bagi tujuan arkib dan pengauditan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS