Paling Popular
Terkini
story images
story images

PAS hari ini membatalkan rancangan mereka untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh.

Wakil parti itu sepatutnya mengadap baginda pada jam 3 petang ini.

Dihubungi Malaysiakini petang ini Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mengakui mereka tidak akan mengadap sultan pada waktu yang ditetapkan.

“Ya (batal),” katanya semasa diminta mengesahkan perkara itu.

Menurut Adun Gunung Semanggol itu lagi PAS tidak mengadap Sultan Nazrin kerana mereka belum ada sebarang keputusan untuk dipersembahkan.

"Nanti macam kita jumpa tuanku main-main pula (kalau tidak ada keputusan),” katanya.

Bagaimanapun Razman berkata PAS akan mengadap Sultan Nazrin juga kemudian namun belum ada tarikh ditetapkan.

“Secepat mungkin jugalah kalau ada keputusan. Itu pun bergantung kepada pusat punya keputusan," katanya.

Lebih daripada mencukupi

Razman yang berbahas dengan bersemangat sebelum pengundian ke atas usul percaya kepada Adun Chenderiang Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat lalu berkata sebarang pertimbangan politik serta keabsahan isu calon menteri besar baru akan diambil kira oleh pucuk pimpinan parti.

Sementara itu sumber dari istana pula memberitahu asalnya PAS dijadual mengadap Sultan Nazrin pada jam 3 petang namun menarik balik janji temu itu dengan alasan mereka mendapat arahan pimpinan tertinggi parti.

Untuk rekod sebelum ini Sultan Nazrin mengeluarkan titah agar Adun Perak datang mengadap baginda untuk mempersembahkan pendirian masing-masing terhadap calon menteri besar yang dicadangkan Umno.

Presiden Umno pula berkata dia "amat yakin" calon yang dikemukakan akan mendapat sokongan mencukupi untuk dilantik mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal.

"Itulah yang kita persembahkan (kepada Sultan Nazrin) dan saya amat yakin majoriti sokongan itu lebih daripada mencukupi," katanya.

Sebelum itu Razman berkata PAS Perak mematuhi segala maklum balas yang dikeluarkan PAS Pusat.

"Justeru, segala pendirian rasmi daripada PAS Perak berkaitan pembentukan kerajaan Perak adalah selari dengan apa yang diputuskan oleh PAS Pusat.

"PAS Perak mendoakan semoga Perak terus sejahtera dan rakyat Perak kekal aman dan diberkati," katanya.

Untuk rekod PAS mempunyai tiga Adun dalam DUN Perak. Selain Razman, dua yang lain ialah Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Dalam undian usul percaya ke atas Ahmad Faizal pada 4 Dis lalu ketiga-tiga Adun PAS memberikan sokongan kepada menteri besar terbabit.

Namun ia tidak memadai apabila Ahmad Faizal hanya mendapat dukungan 10 Adun secara keseluruhan.

Sebelum usul itu diundi Razman sempat memberikan pujian kepada Ahmad Faizal Azumu kerana sanggup meninggalkan kerusi yang dipegangnya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bersama-sama parti lain membentuk "kerajaan yang stabil".

"Saya dengan ini mengajak dan menyokong penuh usul dibawa Pengkalan Baru dan kita akan melihat seluruh masyarakat sekiranya usul untuk menjatuhkan dan menukar kerajaan dalam situasi negara dan rakyat dilanda pancemik ini, pada saya, ini adalah penderhakaan dan pengkhianatan kepada negara bangsa dan agama kita," katanya.

Lihat Komen
ADS