Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukti' Hasnul tolak Peja: Adun Umno serah pada Saarani
Diterbitkan:  Dec 13, 2020 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Adun Umno Perak menyerahkan sepenuhnya kepada Menteri Besar Saarani Mohammad untuk memutuskan sama ada mahu menyerahkan atau tidak 'bukti' pembabitkan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengundi menolak Ahmad Faizal Azumu pada 4 Dis lalu.

Adun Bota, Khairul Shahril Mohamed, berkata hanya Saarani dapat memutuskan perkara tersebut.

"Terpulang kepada pengerusi perhubungan dan menteri besar khususnya putuskan," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Adun Lintang, Mohd Zolkafly Harun yang dihubungi juga berkata perkara itu diluar pengetahuannya dan berkata hanya Saarani dapat memberi penjelasan lanjut.

"Perkara ini di luar pengetahuan saya. Maaf saya tak boleh beri komen dan menteri besar sahaja yang dapat beri penjelasan. Kalau boleh hubungi menteri besar sendiri," katanya.

Semalam Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin memberitahu media keanggotaan Hasnul Zulkarnain akan tergugur dengan sendirinya jika didapati tidak mengundi untuk mempertahankan timbalan presiden parti itu dalam DUN Perak.

Hasnul Zulkarnain merupakan Adun Titi Serong dan bekas ketua Pemuda Amanah yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14.

Dia bagaimanapun berpaling tadah dengan menjadi Adun bebas seketika selepas kerajaan PH Perak dijatuhkan sebelum menyertai Bersatu.

Bagaimanapun dia didakwa mengundi menolak Ahmad Faizal dalam usul percaya dibawa Adun Umno Perak. Namanya juga dikaitkan dengan perakuan bersumpah yang menyokong agar Saarani dilantik menggantikan Ahmad Faizal.

Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud, pula berkata dia tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.

"Saya tak pasti sebab saya pun tak baca lagi komenkomen berhubung perkara tersebut, kemudian kenyataan Datuk Seri Hamzah (Zainudin) pun saya tak baca lagi.

"Tapi tidak apa, saya akan sampaikan maklumat kepada pengerusi perhubungan Umno negeri dengan peringkat pimpinan Umno negeri untuk tindakan selanjutnyalah berhubung perkara-perkara atau bukti-bukti yang hendak dihantar itu," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 4 Dis lalu, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang disingkirkan daripada jawatan menteri besar Perak selepas gagal mendapat sokongan majoriti daripada Adun negeri itu dalam undian percaya yang diusulkan oleh Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. Manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Lihat Komen
ADS