Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kahwin ikut upacara Sikh: Jangan cepat hukum murtad, kata Zulkifli
Diterbitkan:  Dec 21, 2020 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad meminta semua pihak agar bersabar dan tidak membuat dakwaan melulu berhubung berita berkaitan perkahwinan seorang wanita Islam Malaysia dengan pemain hoki India, yang dikatakan mengikut upacara Sikh.

Dia berkata semua pihak sebaiknya menunggu penjelasan pihak bertanggungjawab, iaitu pihak berkuasa agama negeri.

“Tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia mengulas video tular majlis perkahwinan yang didakwa dilakukan mengikut upacara agama Sikh berlangsung di India, yang mencetuskan tanda tanya berhubung status agama wanita yang berasal dari Johor itu.

Dr Zulkifli juga sependapat dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar orang ramai tidak cepat membuat kesimpulan atas sesuatu sebaran berita yang tidak dapat disahihkan.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam,” katanya.

Kenyataan itu hadir selepas beberapa pihak menggesa Zulkifli mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara itu, termasuk Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Bahrin Shah yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Zulkilfli selaku menteri agama, berdiam dalam hal tersebut.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari berkata pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) berhubung status agama wanita itu dan akan memanggilnya apabila dia kembali ke Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Zulkifli turut menjelaskan proses penukaran agama individu yang ingin masuk Islam, rekod pengislaman individu berada di bawah seliaan pihak berkuasa negeri, selepas ucapan dua kalimah syahadah dan pendaftaran keislaman dibuat.

“Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor.

“Dalam hal status agama seseorang, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam.

“Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya,” jelasnya.

Berkenaan soal perkahwinan pula, dia berkata berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, perkahwinan antara pasangan beragama Islam dengan bukan Islam tidak dibenarkan di negara ini, selagi individu bukan Islam itu tidak memeluk agama itu.

“Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS