Paling Popular
Terkini

Tiga lagi pelajar memfailkan saman terhadap seorang guru bahasa Inggeris kerana didakwa gagal hadir ke kelas di SMK Taun Gusi di Kota Kinabalu, Sabah.

Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung, melalui firma guaman Tetuan Roxana & Co, memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bulan lalu.

Ketiga-tiga mereka kini berusia 19 tahun, memfailkan saman tersebut terhadap guru bernama Mohd Jainal Jamran atas dakwaan gagal mengajar mereka dalam kelas bahasa Inggeris antara Mac dan November 2017.

Pada 30 Oktober 2018,  pelajar Nafirah Siman, 19, dilapor menyaman Mohd Jainal kerana dikatakan dengan sengaja tidak hadir kelas selama tujuh bulan di sekolah yang sama pada tahun 2015.

Saman tersebut menamakan lima defendan iaitu Mohd Jainal, pengetua sekolah Suid Hanapi, Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan, dan kerajaan Malaysia.

Menurut salinan pernyataan tuntutan saman yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, ketiga-tiga plaintif merupakan pelajar di kelas yang sama di sekolah tersebut, iaitu 4 Sains Sukan (4SS), antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Ketiga-tiganya mendakwa Mohd Jainal, yang ditugaskan di 4SS untuk mengajar bahasa Inggeris tiga kali seminggu sepanjang tempoh tahun akademik 2017 dari Januari hingga Oktober, hanya hadir ke kelas pada bulan Januari dan Februari.

“Bagaimanapun pada Mac 2017, defendan pertama (Mohd Jainal) sering kali datang lewat untuk kelas bahasa Inggerisnya dan akan meninggalkan kelas lebih awal atau tidak akan hadir langsung.

“Sepanjang (berlakunya) jumlah (kes) kehadiran lewat dan/ atau tidak hadir, plaintif perlu pergi ke pejabat defendan pertama untuk mengingatkan dan/ atau memintanya untuk menghadiri kelas bahasa Inggeris yang dia ditugaskan,” menurut ketiga-tiga plaintif tersebut.

Ketiga-tiga mereka mendakwa antara bulan Mac dan Julai 2017, Mohd Jainal hadir ke sekolah secara tidak konsisten, tetapi hadir ke kelas lewat dan meninggalkan kelas lebih awal, dia dengan sengaja gagal, menolak dan / atau tidak mengendahkan untuk mengajar murid-murid mengikut sukatan pelajaran seperti yang ditetapkan.

"Pada atau sekitar 14 Julai 2017, defendan pertama telah sama sekali meninggalkan tugasannya untuk mengajar pelajar di 4SS subjek bahasa Inggeris dan bersiap sedia untuk gagal (hadiri kelas), menolak dan / atau mengabaikan untuk memasuki kelas lagi," kata ketiga-tiga mereka.

Plaintif mendakwa walaupun terdapat aduan dilaporkan kepada beberapa guru dan bahagian pentadbiran sekolah tersebut, tiada sebarang tindakan diambil terhadap Mohd Jainal dan kelas 4SS tidak disediakan dengan guru ganti.

Ketiga-tiga plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah antara lain, bahawa kelima-lima defendan telah melanggar tugasan di bawah Akta Pendidikan 1996 dalam memastikan ketiga-tiga plaintif diajar bahasa Inggeris dalam tempoh sembilan bulan pada tahun 2017, serta menyediakan persiapan untuk plaintif bagi peperiksaan mereka.

Antara lain plaintif menuntut pengisytiharan bahawa kelima-lima defendan telah melanggar hak asasi ketiga-tiga mereka untuk mendapatkan akses pendidikan yang termaktub di bawah Perkara 5 yang dibaca dengan Perkara 12 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga-tiga mereka juga menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi keterlaluan, kos, dan kerugian yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Ia bukan kali pertama SMK Taun Gusi menjadi tajuk dalam berita.

Pada tahun 2013, seorang ibu membuat laporan polis dan mendesak Jabatan Pendidikan Sabah mengambil tindakan berikutan dakwaan anaknya yang berusia 14 tahun gagal dibawa ke balai polis atau hospital setelah dia diserang sekumpulan pelajar.

Masdah Tabulung bahkan mendakwa pihak pentadbiran sekolah telah merotan anaknya.

Lihat Komen
ADS