mk-logo
Berita
'PN tiada daya, kekuatan sebenar pertahan Melayu dan Islam'
Diterbitkan:  Jan 2, 2021 2:02 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Menegaskan sekali lagi bahawa Umno akan menyertai PRU ke-15 sebagai BN, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin hari ini menyatakan satu daripada sebab mengapa ia diputuskan begitu.

Kata Khaled keutamaan Umno sekarang ialah mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) - yang ditubuhkan bersama PAS - dan mereka tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Sebab utamanya ialah kerana PN tidak mempunyai daya dan kekuatan yang sebenar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.

"Peranan tersebut telah diterajui MN," katanya sambil disambut jeritan bersemangat dua tiga perwakilan yang menghadiri mesyuarat perwakilan Umno Pasir Gudang di Johor Bahru hari ini.

Ia disiarkan secara langsung melalui media sosial.

PN ditubuhkan oleh Bersatu selepas parti itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan disokong beberapa ahli parlimen PKR yang berpaling tadah walaupun gabungan tersebut diberikan mandat untuk menjadi kerajaan pada PRU lalu.

Selain Bersatu PN dianggotai Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan PAS. Pada masa sama PAS kekal dengan kerjasamanya dengan Umno melalui MN.

Sebelum ini memang ramai pemimpin Umno menyatakan rasa tidak senang mereka kepada PN serta pemimpin Bersatu yang sesetengahnya merupakan bekas pemimpin Umno.

Menurut Khaled PN tidak akan mampu menarik sokongan pengundi bukan Melayu kerana gabungan tersebut hanya dilihat sebagai entiti berteraskan Melayu.

Beberapa tokoh bukan Melayu dalam PN pula, katanya, dilihat sekadar penyeri.

"Apatah lagi apabila PN tertubuh secara ad hoc, hanya di peringkat ahli-ahli parlimen, tanpa rujukan kepada ahli parti, tanpa idealisme dan ideologi jelas dan tanpa misi yang strategik untuk Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS