Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Malas layan, PRU14 pun ahli MIC tak sokong PAS, mereka undi PH'
Diterbitkan:  Jan 25, 2021 10:53 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dia enggan melayan kenyataan pemimpin MIC termasuk amaran parti itu yang tidak akan menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Sanusi yang mengganti Mukhriz Mahathir tahun lalu bagi mentadbir kerajaan negeri itu menambah, ketika PRU14 lalu, parti itu juga tidak menyokong PAS.

Dia malah mendakwa, kebanyakan ahli parti MIC menyokong Pakatan Harapan (PH).

"Malas layan dah, pada PRU14 pun dia tak sokong kita juga. Kebanyakan mereka mengundi PH, MIC pun tinggal satu kerusi sahaja.

"Hakikatnya MIC yang memerlukan undi daripada bukan India," katanya seperti dipetik portal BH Online hari ini.

Sanusi berkata demikian susulan kenyataan Presiden MIC S A Vigneswaran yang menyifatkannya sebagai pemimpin yang tidak berpengalaman dan tidak mempunyai kemampuan untuk 'bersosial' dengan kaum lain.

Justeru itu, Vigneswaran memberi amaran bahawa partinya tidak akan menyokong Sanusi pada PRU15 akan datang.

Cuti Thaipusam menjadi kontroversi di Kedah selepas Sanusi mengumumkan tiada cuti peristiwa bagi perayaan berkenaan di negeri itu susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Susulan itu, berlaku pertikaman lidah antara Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dan menteri besar Kedah itu.

Untuk rekod, sambutan Thaipusam dijadikan cuti peristiwa di Kedah sejak 2014.

Mengulas lanjut, Sanusi menjelaskan usahanya itu bukan bermakna mengetepikan penganut Hindu.

Sebaliknya katanya MIC sepatutnya menggesa kerajaan persekutuan supaya menjadikan sambutan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum.

Sanusi sebelum ini didakwa bersikap anti-Hindu selepas membuat keputusan untuk meruntuhkan dua buah kuil dan menerima kecaman susulan kenyataannya mengenai “mabuk todi".

Lihat Komen
ADS