Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda tak akan rayu pada ROS, akan teruskan proses mahkamah

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftarannnya untuk menjadi parti politik secara rasmi.

Ahli Jawatankuasa Penaja Muda, Lim Wei Jiet berkata keputusan itu dibuat berdasarkan dakwaan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang membayangkan keputusan untuk sebarang rayuan terhadap penolakan tersebut.

"Sebab (untuk tidak merayu) adalah kerana menteri sudah pun membuat pengadilan terlebih dulu (prejudge), jadi tiada guna kami gunakan prosedur (rayuan)," kata Lim ketika dihubungi.

Lim yang merupakan seorang peguam berkata, Muda sebaliknya akan menggunakan jalan mahkamah menerusi permohonan semakan kehakiman yang telah dibuat.

Semakan kehakiman itu difailkan 12 Jan lalu bgi memohon mahkamah membatalkan keputusan ROS yang menolak pendaftarannya.

Dalam afidavit sokongannya, pengasas bersama Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa sebab sebenar permohonan Muda ditolak adalah berkaitan dengan keengganannya mematuhi permintaan seorang menteri agar dia menyokong perdana menteri.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu mendakwa perbualan berkenaan perkara itu berlaku pada 13 Dis lalu, berkaitan status permohonan Muda pada masa itu.

"Menteri jawab saya perlu 'commit' kepada perdana menteri. Dia ingatkan saya bahawa saya sehingga saat itu sentiasa mengundi menentang kerajaan di Parlimen," katanya.

Semalam, Hamzah dalam kenyataan berkata permohonan pendaftaran Muda dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditolak kerana ia dibuat secara tidak teratur, berdasarkan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966.

Dalam kenyataan hari ini, Muda menafikan dakwaan itu dan berkata alasan Hamzah akan menguatkan lagi hujah perundangan untuk permohonannya di mahkamah.

"Berkaitan umur minimum 16 tahun untuk menjadi ahli Muda - ini tidak betul, perlembagaan kami yang telah dikemaskini dan telah disemak ROS berkali-kali menetapkan umur minimum ahli Muda ialah 18 tahun.

"Mengenai isu maksimum untuk ahli, kami ingin menegaskan tiada ditetapkan had umur maksimum dalam perlembagaan kami.

"Jika menteri tidak diberi taklimat yang betul atau terlepas pandang untuk membaca borang pendaftaran, Muda adalah akronim ‘Malaysian United Democratic Alliance’. Muda untuk semua tanpa mengira kaum atau umur. Tiada parti politik dalam Malaysia yang menetapkan umur maksimum bagi ahli parti," katanya.

Lihat Komen
ADS