Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tolak jawatan TPM, mahu tamat kerjasama dengan PN - Sumber
Diterbitkan:  Feb 21, 2021 3:10 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Umno membuat keputusan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) sebaik proklamasi darurat berakhir, kata sumber daripada parti itu.

Menurut sumber, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membuat ketetapan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat lalu.

"Umno membuat keputusan mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik saja 'darurat kesihatan' tamat. Presiden mengumumkan perkara itu dalam mesyuarat MT Umno.

"Umno juga tidak akan menerima sebarang pelawaan berkait dengan jawatan timbalan perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Hubungan Umno dengan Bersatu sememangnya diketahui umum bermasalah dan umpama retak menanti belah.

Ia selepas mesyuarat MT Umno pada Jan lalu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Umno masih gagal mengabsahkan keputusan berkenaan selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan hujung bulan lalu dibatalkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Umno juga sebelum ini turut dikaitkan dengan spekulasi yang parti itu menjalinkan kerjasama dengan PKR bagi menjatuhkan kerajaan PN.

'Zahid guna kuasa tolak kerjasama'

Sementara itu, seorang lagi sumber yang enggan namanya disiarkan mendakwa Ahmad Zahid telah "menggunakan kuasanya" bagi menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN.

Dakwa ahli MT berkenaan, majoriti ahli MT bersetuju penyertaan parti itu dalam PN seperti formula yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

Bagaimanapun katanya, Ahmad Zahid menolak cadangan itu.

Malah katanya, Ahmad Zahid juga turut menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri untuk Umno.

"Ahli-ahli MT bersetuju untuk bergabung dengan PN atas nama BN, seperti dilakukan semasa PRN Sabah untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.

"Begitu juga dengan jawatan timbalan perdana menteri, (namun) presiden menggunakan kuasanya menolak cadangan itu," katanya lagi.

'Zahid tak guna veto'

Seorang lagi sumber dalam Umno menyangkal dakwaan bahawa majoriti anggota MT setuju dengan kerjasama dalam PN.

Sebaliknya, dia mendakwa hanya segelintir yang setuju untuk menuruskan kerjasama tersebut.

"Majoriti anggota MT sokong keputusan tetapi mereka setuju untuk tak buat sebarang kenyataan atau komen. Sebab itu tiada kenyataan atau tweet langsung.

"Semua setuju untuk beri kenyataan (berkenaan keputusan) kepada perdana menteri secara tertutup.

"Orang yang bercakap (dengan Malaysiakini) ini pastinya anggota yang setuju dengan keputusan parti. Kami panggil mereka ini kluster menteri. Mereka ini seorang dua sahaja, cuba pertahan (mengapa Umno perlu kekal dengan PN) tapi tak dapat sebab majoriti tak setuju dengan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan sumber ini merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang dilantik sebagai menteri dalam kerajaan PN. Dia bagaimanapun enggan mendedahkan nama mereka yang mempertahankan PN dalam mesyuarat tersebut.

"Zahid tak guna veto. Jika dia nak guna veto, dia tak perlu bawa perkara ini ke mesyuarat MT pun," katanya lagi, sambil membangkitkan keputusan majoriti bahagian Umno sebelum ini yang menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU akan datang.

Lihat Komen
ADS