Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid nafi ‘audio bocor’ dengan Anwar, akan lapor polis
Diterbitkan:  Apr 7, 2021 12:15 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya audio yang didakwa perbualan antara dirinya dengan presiden PKR Anwar Ibrahim yang tersebar.

Katanya, dia telah mengarahkan agar laporan polis dibuat berhubung perkara berkenaan.

“Saya amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.

“[...] Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang scheme of thing ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Malaysiakini masih belum dapat memastikan ketulenan video yang dikatakan telah pun beredar dalam lingkungan Umno itu.

Portal ini juga sedang cuba mendapatkan reaksi pihak Anwar.

Sebelum ini, Ahmad Zahid pernah didakwa membuat perakuan bertulis menyatakan sokongannya kepada Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi perkara itu dinafikan Umno.

Anwar juga dilaporkan mengaku ada berjumpa beberapa tokoh Umno, namun dalam ucapan PAU, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Umno tidak mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak, dan kekal muktamad dengan pendirian untuk tidak menerima Anwar, DAP atau Bersatu

Mengulas lanjut, kata Ahmad Zahid, sebagai presiden Umno, dia tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno dan PAU yang melabuhkan tirai dua minggu lalu.

‘Percaturan jijik’

Dia menganggap penyebaran audio itu sebagai “percaturan politik yang jahat dan jijik”.

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan Umno,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS