Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan memberi peringatan kepada pasukan peguam bekas perdana menteri Najib Razak agar tidak mengulang hujah sama dalam rayuan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Pengerusi panel hakim, Abdul Karim Abdul Jalil memberi peringatan itu kepada peguam Harvinderjit Singh sewaktu prosiding hari ini.

Abdul Karim memberi nasihat demikian berhubung hujah peguam tersebut dalam rayuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib berhubung kes berkenaan.

Panel turut terdiri daripada dua lagi hakim Mahkamah Rayuan, Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Karim memberitahu Harvinderjit untuk meringkaskan hujahnya kerana kebanyakan perkara yang dibangkitkan telah disentuh ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah ketika penghujahan terdahulu.

“Anda ulang perkara sama. Lebih baik sekiranya ada kaitkannya dengan CBT (sabitan pecah amanah jenayah terhadap Najib).

"Berbanding anda bangkitkan pekara ini kepada kami yang telah pun dilakukan (oleh Shafee). Biar ia jelas," katanya kepada Harvinderjit.

Hakim turut menasihati Harvinderjit untuk berhujah tentang bagaimana Mahkamah Tinggi khilaf dalam mensabitkan Najib.

Harvinderjit kemudian meneruskan penghujahan, dengan Najib di kandang tertuduh.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah ke atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan CBT, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta daripada SRC.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazalimenjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan.

[Baca berita asal]

ADS