Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Polis ambil keterangan Neelofa, suami selama empat jam

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Mei 2021, 2:23 tengahari

Polis mengambil keterangan selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail, susulan penularan video pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Che Zakaria Othman berkata, polis juga selesai mengambil keterangan peniaga serta pekerja kedai karpet, yang dipercayai dikunjungi selebriti tersebut di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat Seremban pada Ahad.

“Setakat ini yang selesai memberi keterangan dua orang iaitu peniaga kedai karpet itu dan pembantunya pagi tadi. Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman, Neelofa dan suaminya akan beri keterangan petang ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada anggota polis yang juga petugas barisan hadapan Negeri Sembilan anjuran Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia RESPA), Negeri Sembilan di Seremban.

Che Zakaria berkata tiada ‘layanan istimewa’ diberikan kepada mana-mana individu yang melanggar SOP PKPB dan setiap kesalahan akan dihukum mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

“Siasatan polis adalah sama, tidak ada beza antara selebriti mahupun orang awam. Kita semua darah berwarna merah, semua sama sahaja, tiada keistimewaan,” katanya.

Katanya anggota polis giat melakukan rondaan berkala terutamanya di kawasan kampung atau lorong tikus, walaupun tiada kawalan sekatan jalan raya ditempatkan.

Beliau turut menasihatkan individu yang berhasrat untuk merentas negeri tanpa sebab agar menghentikan perbuatan tersebut, demi mencegah penularan wabak Covid-19 dan keselamatan bersama.

Spekulasi berkaitan video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial, apabila Neelofa bersama suaminya dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman dalam kenyataan berkata pihaknya telah mengambil keterangan pasangan selebriti berkenaan selama empat jam di IPD Nilai bermula jam 2.30 petang.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.