Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hazmat Kelantan paling banyak kendali pengebumian pesakit Covid-19

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan paling banyak mengendalikan urusan pengebumian pesakit Covid-19 sejak tahun lepas berbanding negeri lain.

Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata dalam tempoh itu pihaknya mengendalikan 85 pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dengan 12 kes pada tahun lepas dan selebihnya pada tahun ini.

“Hampir setiap hari ada sahaja kes yang akan dikendalikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian 180 kotak buah kurma sumbangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada anggota bomba di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Zainal berkata JBPM Kelantan juga menjalankan lebih 1,000 operasi sanitasi awam di seluruh negeri itu sejak bermulanya pandemik Covid-19 tahun lepas.

“Sejumlah 250 operasi sanitasi awam dilakukan tahun lepas manakala 1,208 dilaksanakan bermula Jan lalu dan antara lokasi yang terlibat ialah premis kerajaan serta bangunan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata hanya 20 peratus daripada hampir 1,500 jumlah keseluruhan pegawai, anggota dan sukarelawan JBPM Kelantan dibenarkan mengambil cuti sempena Aidilfitri bermula 11 Mei hingga 30 Jun.

Bagaimanapun, katanya jumlah yang bercuti itu akan dikurangkan lagi sekiranya kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS