mk-logo
Berita
Sumber: MKN tolak permohonan Umno nak adakan pemilihan
Diterbitkan:  Jun 5, 2021 8:39 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Permohonan Umno untuk mengadakan pemilihan parti itu bulan ini ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Menurut sumber MKN, situasai ketika ini tidak memungkinkan parti orang Melayu itu untuk mengadakan pemilihan seperti yang dijadualkan lebih awal.

"Sudah pasti MKN akan menolak permohonan Umno untuk mengadakan pemilihan parti kerana situasi Covid-19 ketika ini yang kini masih menular.

"Umno merupakan sebuah parti yang mempunyai banyak bahagian dan cawangan, jika diadakan pemilihan akan berlaku banyak perhimpunan.

"Kami khuatir jika ia diadakan, akan wujud kluster baru pula," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 19 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Umno memang berhajat meneruskan pemilihan parti namun akan tetap akur terhadap sebarang ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Umno juga terbuka jika pihak berkuasa menetapkan pemilihan parti tidak dapat dilangsungkan dalam masa terdekat.

Ia susulan khabar angin yang mendakwa bahawa MKN tidak membenarkan Umno mengadakan pemilihan ekoran penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata badan tertinggi pati itu membuat ketetapan untuk merujuk kepada MKN terlebih dulu sebelum mengadakan pemilihan.

"Keputusan MT Umno sebelum ini kita akan merujuk MKN terlebih dulu bagi mengadakan pemilihan.

"Kalau MKN kata tak boleh (adakan pemilihan) kita akur," kata Tajuddin.

Sebelum ini Malaysiakini dimaklumkan Umno menghantar surat permohonan bagi mengadakan pemilihan parti.

Malaysiakini juga dimaklumkan yang Umno telah dimaklumkan mengenai keputusan MKN menolak permohonan parti itu untuk mengadakan pemilihan.

"Fokus kerajaan kini berfokus kepada usaha membebaskan negara daripada ancaman wabak Covid-19," kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun sumber berkenaan tidak memaklumkan sama ada surat pemaklumkan mengenai perkara itu telah dihantar kepada Umno ataupun tidak.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan pengesahan pemimpin Umno mengenai keputusan berkenaan.

Lihat Komen
ADS