Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangkai buaya jantan tua ditemui terapung dalam sungai

Seekor buaya jantan sepanjang lima meter (15 kaki) seberat kira-kira 400 kilogram ditemui mati terapung dalam sungai oleh penduduk Kampung Teluk Peribu, Bagan Serai, petang semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Sharif berkata buaya jantan itu yang dilihat terapung kira-kira jam 4 petang semalam dipercayai mati dua atau tiga hari lalu.

Katanya ketika ditemui badan reptilia berkenaan sudah mereput, giginya telah luruh dan dipercayai mati kerana faktor usianya yang tua.

“Bangkai buaya itu ditarik naik ke daratan menggunakan traktor penduduk setempat setelah cubaan menarik mengunakan kenderaan gagal kerana berat haiwan itu.

“Perhilitan menanam bangkai haiwan itu pada malam tadi bagi mengelakkan pencemaran,” katanya.

Sementara itu Mohamad Norlishazany Rosli, 24, yang menemui bangkai buaya tersebut berkata dia pada mulanya menyangkakan objek besar yang dilihat terapung dan tersangkut pada tumbuhan air itu merupakan batang kayu yang hanyut.

Bagaimanapun selepas diamati barulah disedari ia seekor buaya dan terus menghubungi rakannya untuk pergi melihat secara dekat menggunakan sampan.

“Setelah sampai ke tempat buaya itu didapati ia sudah mati lalu kami mengambil tali untuk mengikat bangkai buaya berkenaan untuk menariknya ke tepi tebing sungai.

“Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di sini menghubungi Perhilitan Kuala Gula untuk memaklumkan penemuan bangkai buaya itu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS