Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO alam sekitar gesa Pahang hentikan perlombongan di Tasik Chini

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Pahang mengambil tindakan segera dengan menghentikan semua aktiviti perlombongan di tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia, Tasik Chini dan kawasan sekitarnya.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata hanya dengan komitmen kerajaan negeri sahaja yang mampu menyelamatkan Tasik Chini daripada terus mengalami kemusnahan ekosistemnya.

“Antara tindakan segera lain yang perlu dilakukan ialah empangan kecil yang menjejaskan ekosistem semula jadi Tasik Chini hendaklah dirobohkan.

“Tindakan selanjutnya, SAM turut menggesa kerajaan negeri mewartakan keseluruhan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai kawasan perlindungan kerana ia merupakan satu daripada kawasan sensitif alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meenakshi berkata sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan komitmen terhadap isu berkenaan, turut dikhuatiri pengisytiharan Tasik Chini sebagai rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pada Mei 2009, berkemungkinan akan ditarik balik.

Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang semalam memaklumkan, tahap kualiti air di Tasik Chini masih bersih dan selamat untuk semua hidupan.

Isu membabitkan Tasik Chini tiba-tiba tular di media sosial baru-baru ini, yang memaparkan gambar keadaan ‘terkini’ tasik berkenaan yang didakwa terancam berikutan aktiviti perlombongan dan ia telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat termasuk Ahli Parlimen Pekan Najib Razak yang mendakwa ia merupakan gambar lama yang dirakam dua tahun lepas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS