Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Parlimen akan bersidang semula sebelum 1 Ogos
Diterbitkan:  Jul 2, 2021 2:53 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dalam kenyataan sebentar tadi.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

"Sehubungan itu perdana menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

"Perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 7 Julai 2021," kata Takiyuddin.

Sejak digantung pada 11 Januari susulan proklamasi darurat, sejumlah pihak telah menyuarakan gesaan agar Parlimen kembali bersidang.

Ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu, Muhyiddin berkata Parlimen akan bersidang apabila negara masuk ke fasa ketiga pelan tersebut.

Ia dijangka berlaku pada September atau Oktober, katanya.

Bagaimanapun, sehari kemudian Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar persidangan Parlimen perlu diadakan "secepat mungkin".

Pada hari yang sama, Majlis Raja-raja juga menegaskan tiada keperluan darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Agong sekali lagi menzahirkan pandangan itu ketika menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun dan timbalan-timbalan mereka minggu lalu.

Lihat Komen
ADS