Paling Popular
Terkini

KOLUM | Nanti, apabila semua masalah berkenaan Covid-19 ini selesai dan kamu ada peluang, pergilah makan angin ke Turki.

Sebaik tiba di sana, kamu tanyalah siapa saja orang Turki yang kamu temui mengenai Mustafa Kemal Ataturk. Kami boleh beritahu kamu sekarang juga bahawa beliau - yakni Mustafa Kemal itu - amat disayangi oleh semua rakyat Turki.

Baik yang muda apatah lagi yang sudah berusia; baik yang rajin minum arak di bawah menara Galata atau yang tidak pernah culas sembahyang berjemaah di kampung-kampung di sebelah Uskudar.

Jika kamu hanya berjalan-jalan di Masjid Biru, Aya Sofia (atau Hagia Sophia) atau Grand Bazaar di sekitar bandar raya Istanbul, kamu tentu akan menyangka bahawa orang Turki itu sangat liberal.

Cuba berjalan jauh sedikit. Sehingga ke Uskudar misalnya. Nescaya kamu akan dapati mereka juga seperti kita di Kuala Lumpur iaitu masih ramai yang beramal baik walaupun Kuala Lumpur itu kelihatan sangat menyesatkan.

Kuala lumpur - sama seperti di kota raya mana pun - adalah tempat dosa dan pahala bercampur-baur.

Untuk ke Uskudar, kamu boleh pergi ke Jambatan Galata dan berjalan sedikit ke kawasan di bawah binaan tersebut. Di sana kamu akan dapati ada pangkalan feri. Dengan sedikit bayaran, kamu akan dibawa menyeberang ke kawasan-kawasan sekitar yang berpenduduk.

Uskudar jarang dilawati pelancong dan kerana itu ia tidaklah semahal Istanbul.

Penduduk Uskudar dan kampung-kampung yang agak jauh dari Istanbul 'lebih Islamik'. Pun begitu, hampir di seluruh Turki penduduknya yang bersembahyang melakukan ibadah itu dengan berjemaah.

Mustafa Kemal dihormati kerana dia dikatakan membawa 'pembaharuan' kepada Turki.

Dianggap negarawan unggul

Memanglah, siapa yang boleh menafikan kesedihan yang kita rasakan apabila runtuhnya kerajaan Uthmaniah. Campur tangan luar yang membawa kepada keruntuhan empayar Islam itu juga amat menyakitkan hati.

Namun begitu, perlu diingat bahawa pada waktu itu pemerintah yang berkuasa telah sedikit demi sedikit melakukan kerosakan. Kemewahan yang berlebihan telah mengakibatkan penguasa pada waktu itu membanyakkan masa dalam berfoya-foya.

Ia membuatkan orang banyak mula memberontak. Pemerintah lebih memberi tumpuan kepada mencari kepuasan untuk diri dan keluarga. Segala macam pembaziran dilakukan sementara rakyat berada dalam keadaan aman.

Mereka mahukan sesuatu yang lebih baik. Dan Mustafa Kemal datang pada waktu itu. Beliau lalu membangkitkan sentimen pembaharuan dalam sistem kerajaan. Ia disambut dengan baik oleh seluruh penduduk Turki.

Kerana itu, beliau diingati dan dihormati sebagai negarawan unggul oleh seluruh penduduk Turki hingga ke hari ini. Beliau bukan si kafir yang mayatnya tidak diterima bumi seperti yang selalu kamu jaja itu.

Urusan di antara dia dengan tuhan tidak memerlukan campur tangan kamu.

Sebagai perbandingan, kamu juga boleh bertanya kepada mana-mana penduduk Turki mengenai Recep Tayyip Erdogan. Kami juga boleh bagitau kamu sekarang bahawa jawapan yang kamu akan terima bergantung kepada siapa yang ditanya.

Gambar hiasan

Jika mereka adalah penyokong partai pemerintah maka pujian melangitlah yang kamu akan dapat. Kebencian yang tinggi pula tentu saja datang daripada mereka yang tidak menyokong 'keislaman' ditunjukkan oleh partai dan Erdogan.

Erdogan dilihat sebagai seorang diktator yang tidak boleh membebaskan dirinya daripada keputusan yang mencurigakan. Paling menonjol ialah apabila Erdogan membina istana presiden sewaktu masih menjawat jawatan perdana menteri.

Ak Saray atau Istana Putih (dibina di hutan simpan negara yang diperkenankan Mustafa Kemal semasa pemerintahan beliau) itu mempunyai 1,150 bilik dan menelan belanja hampir AS$620 juta.

Setelah Ak Saray siap, Erdogan pun mendiaminya sebagai seorang presiden.

Hal yang seakan sama juga berlaku di negara kita. Perjuangan memertabatkan bangsa atau agama sentiasa mendapat dukungan. Kerana itu politikus akan giat mengusahakan hal ini.

Biar hutan berjasa untuk alam

Yang memperjuangkan bangsa Cina akan sibuk dengan agenda bangsa. Dan yang mahukan hukum tuhan ditegakkan di tanah ini juga sudah sekian lama berjuang ke arah itu.

Segeralah mereka berlari ke Raub misalnya apabila berlaku pertentangan mengenai hal tanah dan durian. Hal yang disemai lebih 40 tahun lalu dituai hasilnya hari ini. Setelah orang itu dan orang ini saling mendapat untung tiba-tiba tanah-tanah itu dirasakan penting untuk diselamatkan.

Namun amatlah besarnya hati kami jika setelah tanah-tanah yang diteroka secara haram itu - yang banyak berjasa kepada petani dan juga mereka yang terlibat dalam menutup sebelah mata akan keberadaanya itu - dibiarkan ditumbuhi pokok-pokok liar.

Dibiarkan menjadi hutan yang kemudian akan berjasa kepada banyak makhluk di alam ini.

Yang kita khuatir ialah jika nanti tanah-tanah berkenaan - yang dijadikan bidak bagi memenangi Melayu semestinya - diserahkan pula kepada pihak lain untuk dibangunkan.

Gambar hiasan

Ditakdirkan kumpulan yang berjuang untuk bangsa itu telah lama duduk mentadbir negara serba indah ini, namun nasib bangsa yang diperjuangkan itu masih tidak berubah.

Seperti pohon durian yang diceritakan di atas, mereka adalah bidak yang dibiarkan tumbuh subur sebelum ditebang tanpa rasa kasih apabila tiba masa yang dirasakan sesuai.

Pejuang-pejuang yang saban masa menjerit membela nasib bangsa dan agama pula sentiasa mendapat untung baik sejurus memegang kuasa. Sama ada daripada apa yang diusahakan sendiri mahu pun yang mereka dakwa sebagai takdir baik daripada tuhan.

Menjadi kaya-rayalah mereka. Malah menjadi teramat kaya dalam masa yang teramat singkat. Bermewah-mewahlah mereka dengan segala macam limpahan rezeki yang dimiliki. Menukar sofa baru, memandu kereta yang lebih laju dan juga memiliki puteri jelita pun menjadi agenda baru pejuang bangsa dan agama itu.

Peduli apa mereka dengan masalah massa. Yang penting nafsu perlu dilampias.

Sibuklah mereka menjalani hidup baru dan terlepas pandanglah akan untung buruk yang melanda orang banyak, atau dalam perkataan mereka sendiri: "rakyat saya".

Satu-satunya partai yang mendabik dada membawa agenda Islam sejak sekian lama kini sudah kini menjadi buah mulut untuk sebab yang salah sebaik saja mendapat tempias kuasa.

Harapan semakin terhakis

Bermulalah kehidupan serba mewah mereka yang dilantik memegang jawatan. Sudah tidak dapat kita bezakan lagi siapakah yang makan suap dan siapakah yang tidak. Kehidupan mereka berubah dengan sekelip mata.

Mereka yang menyokong partai akan sentiasa ada jawapan yang baik terhadap apa saja yang dilihat sebagai korupsi oleh orang banyak. Mereka mungkin bukan menyokong membabi buta tetapi lebih kepada bimbang dimurkai tuhan jika dilihat menentang.

Bimbang menderhaka kepada pimpinan dan dibakar di 'melaka' abadan abada.

Kita semua setuju bahawa pejuang bangsa yang memerintah negara ini telah menjarah hasilnya sejak lama dulu untuk dibahagi-bahagi sesama mereka. Tidak ada pejuang bangsa daripada kumpulan itu yang miskin.

Gambar hiasan

Semuanya jutawan senyap. Mereka bukan dari kumpulan yang berbangga-bangga secara terang-terangan dengan keuntungan hidup kecuali jika mereka mempunyai isteri yang tidak berapa cerdik dan gemar menunjuk-nunjuk.

Yang tidak faham kesusahan orang dan tanpa rasa bersalah memperagakan percutian ke Paris, misalnya.

Lalu habis sudah kepercayaan kita kepada siapa juga yang kononnya memperjuangkan kebangsaan. Harapan untuk hidup dalam sebuah negara yang berpaksikan agama juga sedikit demi sedikit terhakis.

Kemusnahan yang dilakukan mereka yang gigih mencari keredaan tuhan suatu masa dulu tidak mungkin akan dilupakan oleh generasi hari ini. 

Tidak mungkin ada lagi rasa hormat untuk sesiapa yang memperlekehkan usaha orang banyak untuk saling membantu dengan mencadangkan mereka hanya berdoa semata-mata.

Kerosakan yang dilakukan oleh mereka yang berasakan diri mereka si bijak yang pandai itu tidak mungkin diampunkan oleh orang banyak walau 10 atau 20 tahun akan datang. Malah masa yang terkenal sebagai penyembuh luka itu pun semestinya akan meninggalkan parut yang akan sentiasa mengingatkan.

"Lalu kepada siapa harus aku adukan keresahan ini sya ng...?"


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara yang kini sedang mencari peta.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS