Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Dr M dakwa iklim ketakutan selubungi negara

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Moihamad berkata, satu iklim ketakutan sedang menyelubungi negara ini hingga tiada siapa berani menegur atau mengkritik Perdana Menteri.

Menurutnya, dalam keadaan "ketakutan" itu beliau terpaksa tampil menyuarakan pendapat demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, Dr Mahathir juga menegaskan semua krtikan dan tegurannya bukan untuk kepentingan peribadi.

"Perdana Menteri Malaysia yang ada sekarang ini tidak boleh ditegur, dikritik atau dinasihat sama sekali. Dia seolah-olah bukan manusia biasa, tetapi seorang makhluk yang bebas dari segala kelemahan atau kesalahan," tambahnya.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno mengeluarkan kenyataan itu bagi menjawab kritikan-kritikan yang dilemparkan kepadanya oleh Abdullah dan para pemimpin Umno dan kerajaan berikutan kenyataannya untuk terus bersuara jika kerajaan melakukan sesuatu yang merugikan negara dan rakyat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri hujung minggu lalu.

Berikut adalah kenyataan penuh Dr Mahathir:

Kenyataan Dr Mahathir Bin Mohamad.

Tuan-tuan, Puan-puan,

Rakyat Malaysia sekalian,

Kenapa saya mengkritik Perdana Menteri

Kerana tidak ada sesiapa yang boleh kritik Perdana Menteri ini. Dia tidak boleh dikritik oleh Timbalannya, Menteri Kabinet, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Menteri-Menteri Besar, Ahli Dewan Senat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Umno di semua peringkat, Pegawai Kerajaan dan sesiapa sahaja daripada Raja hingga ke pengemis.

Media aliran perdana termasuk televisyen dan radio tidak boleh menegur Perdana Menteri. Sekarang telefon mesti didaftar supaya sesiapa yang akan menghantar SMS akan diketahui oleh Kerajaan dan tindakan boleh diambil.

Internet dan website akan diganggu secara elektronik dan tindakan diambil kepada sesiapa yang mengkritik Perdana Menteri.

Saya sendiri dihalang dengan berbagai-bagai cara supaya tidak dapat membuat apa-apa kritikan terhadap Perdana Menteri.

1. Tidak boleh dijemput oleh Umno, oleh badan bukan Kerajaan, oleh persatuan pegawai Kerajaan atau bukan Kerajaan, universiti dan mana-mana institusi.

2. Ahli Umno dan orang ramai ditegah dan dinasihat supaya tidak hadir apa-apa perjumpaan di mana saya akan berucap.

3. Pelbagai ugutan dibuat untuk menakutkan sesiapa yang engkar.

4. Taip kali berlaku apa-apa yang menyentuh rakyat, Timbalan Perdana Menteri dan pihak tertentu melarang sebarang kritikan, teguran atau perbahasan berkenaan dengannya.

Tindakan yang telah diambil dan diancam akan diambil ialah melucut jawatan, ditukarkan ke tempat terpencil seperti luar bandar Sabah, kontrak ditarik balik atau tidak diberi lagi, diganggu oleh bank, dipanggil oleh polis, Badan Pencegah Rasuah dan badan berkuasa Kerajaan yang lain, ditahan dan disoal berkali-kali.

Satu iklim ketakutan meyelubungi negara ini

Tidak sesiapa yang sanggup membuat teguran, kritik atau membantah apa juga yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Dalam keadaan di mana sesiapa pun tidak boleh mengkritik Perdana Menteri, saya terpaksa menyuarakan pendapat saya bukan berkenaan masalah diri saya, tetapi hanya berkenaan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kerana ini saya dibelasah oleh konco-konco Perdana Menteri termasuk pemimpin parti sekutu, media aliran perdana yang dikuasai oleh Kali (Datuk Kalimullah Hassan - Penasihat Editorial Kumpulan NSTP dan Brendan (Periera - Editor Kumpulan akhbar NST) dan semua alatan Kerajaan.

Soalan dan isu yang saya bangkitkan tidak pernah dijawab. Yang disoal hanyalah hak saya menegur. Percubaan dibuat supaya saya menjadi begitu buruk dan tidak dianggap siuman lagi. Kononnya pemerintahan di zaman saya lebih buruk lagi.

Media-media mereka menceritakan keburukan saya kononnya dan kejahatan saya kerana menegur Perdana Menteri.

Orang Islam tentu tahu bahawa imam pun boleh ditegur oleh makmum jika membaca atau membuat salah.

Saidina Abu Bakar, Khalifah Islam yang pertama meminta supaya dia ditegur jika dia melakukan sesuatu yang salah, bukan oleh orang asing tetapi oleh orang Islam sendiri.

Tetapi Perdana Menteri Malaysia yang ada sekarang ini tidak boleh ditegur, dikritik atau dinasihat sama sekali. Dia seolah-olah bukan manusia biasa, tetapi seorang makhluk yang bebas dari segala kelemahan atau kesalahan.

Perjumpaan saya dengannya hendaklah disembunyi dari rakyat. Dan kerana telah berjumpa, saya tidak boleh lagi mengkritik apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Kerana kenyataan saya bahawa saya akan terus mengkritik jika sesuatu yang tidak baik untuk agama, bangsa dan negara dilakukan oleh Perdana Menteri, maka segala kecaman dan kehinaan dilempar oleh konco-konco dan media aliran perdana terhadap saya.

Kerana semua saluran untuk semua pengkritik kerajaan sudah ditutup, maka inilah saya mengeluarkan kenyataan ini secara bertulis supaya tidak diputar oleh sesiapa.

Sekian,

Dr Mahathir bin Mohamad

Warganegara dan Rakyat Biasa Negara Malaysia

Oktober 27, 2006