mk-logo
Berita
Muhyiddin: Bantu peniaga kecil antara tumpuan MPN
Diterbitkan:  Sep 6, 2021 10:03 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Langkah-langkah bagi membantu kelompok peniaga kecil adalah antara perkara yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) nanti.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua perkara-perkara berkaitan pemulihan negara dari aspek 'keseluruhan masyarakat’ (whole of society) dan 'keseluruhan kerajaan’ (whole of government) akan dibincangkan dalam mesyuarat itu, dan beliau menjangka tarikhnya mungkin ditetapkan dalam tempoh seminggu akan datang.

"Sebagai Pengerusi MPN saya akan pastikan sektor dan peniaga-peniaga kecil ini terus dibantu dalam setiap perancangan kerajaan membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau medan selera serta aktiviti perniagaan di sekitar Taman Tasik Sri Rampai, Setapak Jaya di Kuala Lumpur, yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.

Muhyiddin sebelum ini mempengerusikan mesyuarat MPN sebagai Perdana Menteri sebelum meletakkan jawatan pada 16 Ogos, dan Sabtu lepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi MPN susulan keputusan Jemaah Menteri pada 1 Sept lepas.

Muhyiddin berkata langkah-langkah yang sewajarnya akan diambil dalam tempoh setahun dua akan datang supaya negara akan kembali pulih dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain lagi, seperti sebelum kemunculan pandemik Covid-19.

"Sebagai pengerusi MPN, tumpuan kita bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar tetapi juga sektor-sektor informal dan kecil-kecilan... meskipun kerajaan sudah banyak berikan bantuan, namun ia pastinya tidak akan dapat menampung perbelanjaan mereka setiap hari sekiranya mereka tidak beroleh pendapatan dari perniagaan," katanya.

Wilayah bebas niaga

Beliau berkata tinjauannya terhadap aktiviti peniaga kecil di kawasan itu mendapati mereka kelihatan semakin ceria dan semakin ramai yang sudah mula meniaga, menandakan bahawa proses pemulihan ekonomi negara sudah bermula dan semakin jelas.

"Saya rasa sukacita kerana saya tanya pendapatan mereka tadi, ada dapat RM200 ke RM300 sehari, ada yang peroleh RM3,000 ke RM4,000 sebulan dan mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk meniaga.

"Langkah yang diambil di Wilayah Persekutuan ini amat baik bagi membantu peniaga kecil-kecilan untuk bangun semula dan memperoleh pendapatan untuk menyara kehidupan mereka... zaman orang susah jangan kenakan apa-apa bayaran, tidak apa kerajaan rugi sedikit," katanya.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenalkan pada 15 Nov tahun lepas bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma.

- Bernama

Lihat Komen
ADS