Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tolong YB @Khairykj, perlu ada kebijaksanaan dalam keputusan kita'
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 1:08 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Menteri Belia dan Sukan yang baru, Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan arahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini bagi membuka semula panggung wayang dan acara keseniaan.

Dia mempersoalkan mengapa KKM tidak membenarkan pembukaan semula gimnasium dan sukan padang.

"Panggung wayang dibuka? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP ketat. Tolong YB @Khairykj, perlu ada kebijaksanaan dalam keputusan kita."

Semalam, kerajaan mengumumkan pembukaan semula aktiviti hiburan kepada individu yang divaksinasi sepenuhnya di semua negeri mulai Khamis ini (9 Sept), termasuk persembahan seni, pawagam, muzium dan galeri seni.

Keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merangsang kegiatan ekonomi industri kreatif dan keseniaan.

Sementara itu, bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkongsi pendapat yang sama di Twitter dengan membantah keputusan tersebut.

"Cinema dah boleh buka tapi gym & padang bola yang open air masih kekal tutup.

"Nampaknya kerajaan lebih pentingkan industri hiburan dari industri sukan dan kesihatan rakyat Malaysia," katanya.

Syed Saddiq berkata dia bukan menentang pembukaan semula sektor hiburan, namun bersimpati terhadap nasib pengusaha industri sukan.

Sementara itu, pakar mempunyai pendapat berbeza mengenai risiko panggung wayang dan gimnasium meskipun untuk individu yang diberi vaksin sepenuhnya.

Pakar Kesihatan, Natascha Tuznik dari UC Davis Health Amerika Syarikat berkata pawagam mempunyai risiko penularan yang lebih rendah berbanding gimnasium kerana orang ramai tidak berkomunikasi antara satu sama lain dan menghadap ke arah skrin yang sama.

Ini berbeza dengan gimnasium di mana orang ramai perlu bernafas lebih kuat  dan berpeluh.

Dalam carta risiko Covid-19 oleh ahli epidemiologi penyakit berjangkit Amerika, Saskia Popescu mengklasifikasikan gimnasium sebagai "sederhana tinggi' kerana kadar pernafasan individu yang tinggi, kesukaran memakai pelitup muka, potensi perkumpulan individu dan sentuhan kepada permukaan peralatan.

Namun, dia mengklasifikasikan panggung wayang sebagai risiko "tinggi" - berbanding gimnasium - kerana melibatkan premis tertutup untuk jangka masa lama yang berpotensi berlaku jangkitan.

Lihat Komen
ADS