Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
7 Nov tarikh putuskan jika bekas exco Johor perlu bela diri
Diterbitkan:  Sep 20, 2021 5:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Mahkamah Tinggi di Johor Bharu menetapkan 7 Nov depan untuk memutuskan sama ada bekas Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, anak lelakinya dan seorang perunding hartanah, perlu membela diri atau tidak bagi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram lebih RM35 juta, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan barisan pendakwaan, yang diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan pembelaan yang diketuai Peguam Datuk Salehuddin Saidin.

Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, 55, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 29, dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 48, didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun pada 21 April 2019 membuat keputusan melepas dan membebaskan Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Prosiding selama dua hari bermula semalam, ditetapkan untuk rayuan kes di Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Wan Shaharuddin dalam hujahannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dalam keputusannya pada dua tahun lepas yang melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

“Hakim (Mahkamah Sesyen) didapati telah tidak mempertimbangkan keterangan penting dalam alasan penghakimannya, termasuk keterangan pihak pembelaan yang mengakui responden kedua (Abdul Latif) ada menerima wang tersebut. Apa yang menjadi isu sama ada wang itu adalah suapan atau tidak, malah responden kedua tidak menafikan bahawa beliau ada menerima wang itu.

“Responden kedua menyatakan wang itu adalah pinjaman daripada responden pertama (Amir Shariffuddin), sedangkan wang itu berasal daripada pemaju perumahan negeri ini yang ingin mendapat pelepasan lot hartanah Bumiputera, dengan responden kedua sebagai Exco ketika itu yang ada peranannya untuk membuat pelepasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata jika diambil kira hal keadaan kes berkenaan Abdul Latif bersubahat dengan Amir Shariffuddin dan pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan Abdul Latif ada menerima wang.

“Namun, apa yang perlu kami buktikan adanya pakatan jenayah di antara responden pertama dan ada pertolongan daripada responden kedua untuk responden pertama melakukan kesalahan tersebut,” tambahnya.

- Bernama 

Lihat Komen
ADS