Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'September berdarah': Kit Siang tuntut penjelasan KJ
Diterbitkan:  Sep 23, 2021 11:55 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang meminta Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan situasi buruk kes kematian yang direkodkan negara semalam.

"Khairy harus menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan angka kes kematian akibat Covid-19 terburuk dan juga angka kes kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital (BID) terburuk semalam sejak beliau mengangkat sumpah sebagai menteri kesihatan yang baharu pada 24 hari lalu pada 30 Ogos?

"Harapan untuk melihat Khairy menguruskan penularan wabak Covid-19 di negara ini dengan baik kian pudar, seperti yang berlaku sebelum ini.

"Meskipun tidak mengambil kira jumlah kematian akibat Covid-19 dan BID yang terburuk semalam, Malaysia masih diletakkan sebagai negara nombor satu di dunia untuk kategori 'kematian per sejuta penduduk sepanjang tujuh hari lalu'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysia merekodkan 487 kes kematian akibat Covid-19 termasuk 161 kes kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital (BID).

Ini jumlah tertinggi yang pernah direkodkan untuk kedua-dua kategori sejak Khairy mengalas tanggungjawab sebagai menteri kesihatan.

Ia menjadikan jumlah terkumpul kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 24,565, dan 4,809 daripadanya adalah kes BID.

Bagi September saja, sebanyak 7,910 jumlah kematian dicatatkan, terburuk berbanding bulan-bulan lain.

Kata Lim lagi, Malaysia mencatatkan markah sebanyak 76, menewaskan 20 negara lain yang mempunyai jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

"Selain negara-negara kecil dan negara-negara pulau, tidak dapat disangkal lagi bahawa Malaysia berada di kedudukan teratas untuk kes kematian akibat Covid-19 per sejuta penduduk suatu pencapaian yang tidak dimahukan oleh rakyat Malaysia.

"Malaysia tewas teruk kepada Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk lapan kali ganda berbanding jumlah penduduk di Malaysia dalam perang melawan wabak Covid-19.

"Sepanjang tiga minggu lalu, kes harian baru Covid-19 di Indonesia telah menurun ke bawah paras 10,000 kes dan dalam lingkungan julat empat angka sementara Malaysia; kes tidak pernah turun di bawah paras 14,000 selama dua bulan dan mencatatkan kes lima angka selama lebih dua bulan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Lim berkata Khairy tidak boleh lagi mengelak untuk menjelaskan mengenai perkara ini.

Selain mempersoalkan apakah kerajaan sudah menyelesaikan masalah tunggakan (backlog) dalam pengurusan mayat di hospital awam.

Lihat Komen
ADS