Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bayangkan, andainya masakan tempatan, Bak Kut Teh memenangi anugerah antarabangsa, apakah reaksi masyarakat Malaysia?

Apakah ia bakal mengundang protes, bahawa ini satu penghinaan terhadap negara yang diterajui kerajaan Melayu-Islam? Apakah ia bakal mencungkil pertikaian bahawa masakan tidak halal ini boleh menjejaskan identiti negara kita, sebagai masyarakat yang majoritinya umat muslim? Apakah namanya akan dipersoalkan, kerana “Teh” itu boleh mengelirukan muslim bahawa ia sekadar sejenis minuman, dan dituntut agar namanya ditukar?

Jelas, persoalan sebegini kelihatan tidak masuk akal. Ramai yang sedar bahawa masakan daging babi ini telah menjadi makanan kegemaran bukan muslim tempatan untuk sekian lama. Kita belum kedengaran suara lantang yang menuntut agar daging babi tidak dimakan secara terbuka. Ia diterima sebagai kepelbagaian yang diraikan dengan sikap keterangkuman, atas prinsip “bagi kamu agama kamu, bagi saya agama saya”.

Cuma, mengapa prinsip ini tidak diamalkan dalam isu arak? Mungkin sesetengah cuba memberi dalil, bahawa arak ialah sejenis minuman yang berbahaya kepada kesihatan, antaranya memberi kesan mabuk. Tetapi, andainya Bak Kut Teh dimakan saban hari, boleh juga ia mengundang penyakit jantung lantaran lemak daging babinya, sebagaimana daging lembu dan kambing. Malah rokok lebih berbahaya, kerana asap yang dihembus boleh memudaratkan kesihatan orang yang tidak merokok di keliling perokok. Apakah GUDANG GARAM harus ditukar namanya apabila memasuki pasaran Malaysia, kerana nama GARAM boleh mengelirukan remaja?

Sesungguhnya, pemandu mabuk harus dihukum, sebagaimana pemandu yang mengantuk, atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Tiada tolak ansur dalam hal ini, kerana apabila seseorang memandu dalam keadaan mabuk, letih atau hilang fokus, ia boleh mendatangkan malapetaka kepada semua pengguna jalan raya tanpa mengira kaum dan agama. Namun, mengapa tidak pemandu mabuk sahaja dijadikan sasaran, sementara peminum arak lain yang berhemah, dibenarkan selagi tidak mengancam keselamatan orang lain?

Punca: PAS

Biar kita berterus-terang, kerana isu arak telah membelenggu masyarakat kita untuk sekian lama. Masyarakat kita pernah kecoh dengan penganjuran October Fest (Pesta Bir Oktober), sebelum era wabak Covid-19 melanda. Ketika zaman penularan Covid-19, satu Malaysia terpinga-pinga dengan SOP sama ada bahagian barangan tertentu dalam pusat beli-belah harus dibuka jikalau tergolong sebagai “non-essential”, susulan larangan penjualan minuman keras atas alasan arak tersenarai sebagai “non-essential”. Bahkan sehingga kini, kerajaan persekutuan masih tiada kata putus, sama ada untuk melarang atau tidak penjualan arak di premis-premis tertentu.

Perbincangan isu ini tidak adil tanpa menelusuri konteks dan latar belakangnya. Ringkasnya, konflik ini semakin meruncing kerana keghairahan pemimpin PAS memainkan isu arak sebelum menjadi parti pemerintah. Lebih-lebih lagi, PAS mengambil satu pendirian yang agak ektrem, iaitu menuntut agar arak diharamkan, tanpa mengambil kira faktor bahawa negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, dengan persepsi yang berbeza-beza terhadap minuman yang digelar “kencing syaitan” ini.

Justeru itu, sudah tentu PAS akan dipersoalkan apabila memegang kuasa. Kesemua parti politik berdepan dengan situasi sebegini apabila bertukar kedudukan dari pembangkang kepada pemerintah. Bukan sahaja mereka perlu menjawab pertikaian penyokongnya, malah pesaing mereka yang dijatuhkan dengan tuntutan ini dan itu, akan kembali menjatuhkan mereka dengan ludah mereka sendiri, yang sedang mencurah dari langit.

Jadi, PAS perlu bersedia untuk bertanggungjawab ke atas kenyataan dan tingkahlaku dirinya. Dua pilihan terpampang di depan mata, sama ada mereka menunaikan janji mereka, atau mereka mengaku kesilapan, memohon maaf dan menyeru agar semua bergerak ke depan.

Hak golongan minoriti

Apa jua pilihan PAS, pesaingnya, Pakatan Harapan (PH), terutamanya Amanah juga harus sentiasa berjaga-jaga, agar tidak mabuk sehingga kehilangan halatuju. Mereka yang celik politik sudah tentu sedar bahawa isu wiski Timah diambil kesempatan agar PAS diserang bertalu-talu dalam gelanggang politik. Apapun kesudahannya, sama ada penyokong PH, mahupun rakyat umum akan tertanya-tanya, “Apa sebenarnya pendirian PH/Amanah dalam isu Timah?”

Dengan kata lain, seandainya PH masih berkuasa, atau kembali berkuasa pada masa depan, dengan pemimpin Amanah sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, bagaimana pula isu Timah ditangani? Adakah jenamanya harus ditukar, atas alasan Timah itu singkatan kepada Fatimah, nama puteri Nabi? Atau wajah Kapten Speedy harus ditukar, kerana lelaki ini berjanggut lebat dan pemakaian penutup kepala yang mirip “kopiah”? Apakah benar PH ingin mengesahkan kepada satu dunia, bahawa muslim di Malaysia akan terkeliru antara istilah Timah dengan nama Fatimah, dan menganggap kesemua lelaki yang berjanggut lebat sebagai muslim, termasuk bapa komunisme, Karl Marx?

Ketepikan pertikaian yang kelihatan remeh-temeh ini. Satu persoalan sahaja yang harus dipertimbangkan pemimpin Melayu-Muslim dalam PH, yang disokong majoriti pengundi bukan Melayu dan bukan muslim dalam PRU14 pada tahun 2018. Pernahkah mereka terfikir kegusaran golongan minoriti ini ketika hak mereka dijadikan pertaruhan, dalam pergelutan kuasa antara pemimpin politik Melayu-muslim?

Sejak Tsunami Politik 2008, “kegusaran Melayu” disebut-sebut dalam suasana politik perkauman dan agama sempit yang hangat. Melayu gusar dengan “kebangkitan Cina”, resah lantaran “Islam terancam”, takut andainya satu hari nanti “bumi dipijak milik orang lain”. Kegusaran ini berjaya dicetuskan, sungguhpun jentera negara dikuasai Melayu-muslim hampir sepenuhnya, dari Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri, ketua pasukan keselamatan sehinggalah ketua setiausaha negara.

Cuba kita berfikir dari perspektif golongan bukan Melayu dan bukan muslim, yang paling tinggi jawatannya, menteri pengangkutan dalam kerajaan buat waktu ini. Dengan kuasa yang sedikit itu, apakah hak asasi mereka terjamin? Apapun kesudahan isu Timah, tiada kesan langsung terhadap kebanyakan Melayu-muslim. Namun, ia memberi impak kepada golongan bukan Melayu dan bukan muslim, kerana hak untuk mengamalkan cara hidup mereka, boleh jadi tercabul begitu sahaja.

Mungkin ada yang akan memperlekehkan, “Apalah sangat dengan Timah itu? Ia sekadar minuman keras. Tidak mati pun kalau tidak minum.” Jangan lupa, bahawa jikalau isu Timah melabuh tirai dengan pengharaman, atas alasan “Timah adalah singkatan kepada Fatimah”, atau “Janggut Kapten Speedy menyerupai imej muslim”, bukankah dari psikologinya, ia membayangkan kemungkinan bahawa apa-apa yang tidak halal di sisi agama Islam, boleh diharamkan, atas apa sahaja alasan? Dan apakah bukan Melayu boleh mengharapkan Wee Ka Siong untuk mempertahankan hak memakan Bak Kut The, atau Char Siew Yuk?

Saya tidak pesimis sehingga ke tahap itu, cuma realitinya, ramai bukan muslim dan bukan Melayu yang terkilan apabila pemimpin politik melangirkan keris dengan alkohol sebelum bertikam sesama diri. Sebagai warga negara, rakyat bukan Melayu-muslim ini membayar cukai, menyimpan wang mereka di bank tanah air; mereka berhempas-pulas di gelanggang sukan agar jalur gemilang berkibar di persada antarabangsa. Namun apabila berlakunya pergelutan kuasa, hak mereka pula dipertaruhkan, tanpa sehiris kepekaan terhadap sentimen mereka.

Sedangkan, banyak lagi isu yang boleh dipertarungkan antara parti Melayu-muslim. Isu bagaimana sumber air dilindungi dari pencemaran, dan disalurkan ke setiap unit kediaman dalam paip yang bersih; bagaimana masalah banjir ditangani; bagaimana pembalakan dikawal untuk menjaga kelestarian alam; bagaimana penularan Covid-19 disekat; bagaimana pendidikan disesuaikan mengikut keperluan pasca zaman Covid-19; bagaimana perusahaan dibangunkan semula selepas ditimpa kemelesatan ekonomi; bagaimana kemudahan pengangkutan awam dinaik taraf; bagaimana pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang diharapkan tidak makan padi; bagaimana masyarakat kita dipupuk kesedaran seksual, agar tidak diambil kesempatan oleh guru besar, ustaz dan sebagainya untuk mencabul kehormatan anak bini kita; bagaimana kualiti rancangan media dipertingkatkan, agar tidak menjadikan sembang lucah untuk meraih populariti.

Saban hari masyarakat kita dilambak dengan pelbagai kes jenayah dan masalah sosial yang terdesak, menuntut perubahan dari segi struktur dan dasar agar nasib mereka terbela. Namun, jarang-jarang isu sebegini dikupas secara mendalam, sebaliknya kita lebih teruja untuk membincangkan Timah, yang kandungan alkoholnya 40%. Keghairahan sedemikian kadangkala membuatkan saya tertanya-tanya, apakah kita terminum sesuatu yang mengandungi alkohol pada paras 51%?


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS