mk-logo
Berita
Ganja perubatan: K'jaan digesa pinda undang-undang, kaji semula kes di mahkamah

Kerajaan perlu meminda undang-undang sedia untuk mencerminkan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa produk mengandungi ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport serta digunakan di Malaysia, gesa peguam dan NGO.

Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata kes jenayah yang belum selesai melibatkan ganja perubatan juga mesti dikaji semula.

"Ia akan mengambil masa untuk mewujudkan rangka kerja dasar dan tidak pasti sama ada ganja akan digunakan dalam bentuk mentah atau diproses atau jika ia akan digunakan dalam bentuk yang boleh dimakan atau secara luaran.

“Terdapat banyak perincian yang perlu diselesaikan, tetapi apa yang kerajaan boleh lakukan sekarang ialah mengkaji semula pertuduhan jenayah yang belum selesai terhadap mereka yang menggunakan ganja untuk menangani masalah kesihatan mereka.

"Terutama mereka yang berdepan hukuman mati atas tuduhan mengedar dadah," kata Chong (gambar, bawah) kepada Malaysiakini.

Satu kes berprofil tinggi melibatkan pesara kapten angkatan tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, lebih dikenali sebagai 'Dr Ganja', yang masih berdepan hukuman mati.

Amiruddin telah ditahan sejak pertama kali didakwa pada Mei 2017. Dia menghadapi 33 pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas polis dilaporkan menemui sejumlah besar ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan di rumahnya di Kampung Delek Dalam, Klang, Selangor.

Satu kes ketara lain, Muhammad Lukman Mohamad dijatuhi hukuman mati pada 30 Ogos 2018, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 3.1 liter minyak kanabis, 279gm ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Bagaimanapun, awal tahun ini, pada 17 Feb, Lukman dibebaskan apabila panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan atas dua pertuduhan mengedar dadah.

AKtivis ganja perubatan menyambut baik jawapan parlimen Khairy, bahawa produk yang mengandungi ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan boleh diimport dan digunakan di Malaysia jika produk itu mematuhi keperluan undang-undang.

Khairy berkata undang-undang sedia ada yang mengawal ganja di Malaysia ialah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952, yang kesemuanya tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Khairy berkata demikian pada jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan pendirian Malaysia mengenai penggunaan hem atau "ganja perubatan" sebagai ubat alternatif yang boleh ditawarkan kepada pesakit kerana ia telah dilaksanakan di banyak negara dan diiktiraf oleh komuniti perubatan antarabangsa.

Syed Saddiq, yang menyokong penggunaan ganja perubatan baru-baru ini, mengetuai kaukus dwipartisan parlimen untuk mengkaji peraturan dan membentuk dasar bagi penggunaan perubatan ganja dan ketum.

Pinda Akta Dadah Berbahaya 1952

Sementara itu, naib presiden kumpulan proganja perubatan, Persatuan Kesedaran Malaysia (Masa) Harish Kumar berkata adalah penting bagi Malaysia untuk mengeluarkan ganja daripada Jadual 1 AKta Dadah Berbahaya 1952 dan meletakkannya ke dalam jadual yang lebih rendah.

Ini, jelasnya untuk memudahkan pengimportan produk ganja bagi tujuan penyelidikan dan kegunaan perubatan.

"Ini juga memerlukan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk merangka garis panduan baru khusus untuk ganja dan hem.

"Dengan lebih banyak penyelidikan dan bukti, kerajaan kemudian boleh membuat keputusan untuk mengeluarkan ganja daripada Akta Dadah Berbahaya 1952 jika ia terbukti selamat dan bermanfaat untuk rakyat," kata Harish.

Chong pula berkata, menangani masalah dadah di Malaysia perlu mengikut prinsip nisbah dan menghormati hak asasi manusia.

Gambar fail, 'Dr Ganja' Amiruddin @ Nadarajan Abdullah.

"Pengumuman semalam pastinya merupakan langkah positif ke arah dasar dadah berasaskan bukti.

“Sekarang ini, memiliki lebih 200gm ganja akan mencetuskan anggapan pemilikan bagi tujuan mengedar, yang boleh dihukum mati.

"Memandangkan penubuhan rangka kerja dasar dan ujian klinikal mungkin mengambil masa yang lama, kerajaan harus mendekriminalisasikan ganja perubatan.

"Dekriminalisasi bermaksud penghapusan hukuman jenayah dan tidak sama dengan pengesahan dari segi undang-undang," katanya.

Aspek praktikal ganja perubatan

Chong menekankan bahawa Seksyen 12 Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 memperuntukkan lesen untuk mengimport sebarang produk bagi tujuan ujian klinikal.

"Saya tidak mengetahui mana-mana makmal tempatan boleh melakukan ujian ke atas ganja perubatan. Untuk mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah sebagai produk perubatan, adalah wajib untuk melalui ujian makmal dan ujian klinikal," katanya.

Katanya, terdapat kepentingan kesaksamaan sosial berkaitan dengan ganja perubatan.

"Kerajaan perlu memastikan bahawa orang daripada komuniti yang mendapat mudarat secara tidak seimbang oleh larangan ganja dimasukkan ke dalam industri ganja perubatan sah yang baru dan bukan untuk memperkayakan sektor tertentu saja.

"Selain itu, harga ganja perubatan mesti berpatutan supaya orang ramai tidak akan mengambil jalan memilih pasaran gelap," jelas Chong lagi.

Awal minggu ini, ramai aktivis melahirkan rasa sedih atas kematian menyayat hati seorang pengguna ganja di pusat pemulihan dadah dan menggesa kerajaan mengubah undang-undangnya sebelum lebih banyak nyawa terkorban dalam sistem sedemikian.

Dalam kejadian di Kubang Pasu, Kedah, pelatih pusat pemulihan dadah berusia 31 itu meninggal dunia kerana kecederaan dilaporkan akibat tindakan seorang warden yang menggagalkan cubaannya melarikan diri.

Mangsa yang dimasukkan pada April atas kes ganja hanya dapat lari kira-kira 1km dari kemudahan itu sebelum ditemui warden, menurut Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat.

Dilaporkan warden berusia 46 tahun itu didakwa telah memijak leher, memukul dadanya dan menendang mangsa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS