Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora nikah sahabat baik arwah suami
Diterbitkan:  Dec 3, 2021 11:49 AM
Dikemaskini: 4:33 AM

Penyanyi Nora Ariffin, mengesahkan dia kini bergelar isteri kepada Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Rushdi Ramli, 55, dalam satu majlis pernikahan, malam tadi.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk menghebahkan perkahwinan keduanya dengan Rushdi, 55, sebaliknya sekadar mengikut tuntutan agama.

“Saya berpegang kepada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan.

“Bukan kerana ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti.

“Sempena malam Jumaat yang juga Sayyidul Ayyam, saya dengan rendah diri dan bersyukur ke hadrat Allah ingin memaklumkan sudah bertemu jodoh dengan hamba Allah yang juga sahabat baik arwah Johan (Nawawi) sejak kecil lagi,” katanya dalam kenyataan.

Kata Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin itu, jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah.

“Ia sudah ditentukan. Saya menerimanya dengan penuh sabar, reda dan syukur.

“Hanya kebaikan yang saya harapkan. Saya juga memohon supaya semua insan yang saya kenali dan peminat untuk mendoakan saya mendapat keluarga sakinah mawaddah warahmah, dipermudahkan urusan, diberkati, diredai Allah dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya.

Pada masa sama, Nora turut berterima kasih kepada anak-anak dan menantunya serta semua pihak yang mendoakan kebaikan buat dirinya.

Kata penyanyi Secebis Harapan itu, selepas melalui pelbagai fasa ujian dalam kehidupannya, mereka sekeluarga kini mahu mengecapi bahagia dan mahukan kehidupan berkeluarga yang lengkap.

Baru-baru ini, dia dispekulasi melangsungkan pernikahan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Bagaimanapun, dia menafikan perkara tersebut.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Johan yang merupakan komposer terkenal meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Pada 13 Disember 2019 pula, Nora diduga sekali lagi dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff pada usia 20 tahun.

Lihat Komen
ADS