Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker mohon maaf beri Najib seminggu lagi jelaskan hutang 1MDB

PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini memohon maaf kepada ahli-ahli parlimen selepas memberikan kepada Najib Razak (BN-Pekan) tempoh seminggu sehingga Selasa depan bagi memberi penjelasan berhubung hutang 1MDB.

Ia selepas Tony Pua (PH-Damansara) dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) membantah keputusan speaker membenarkan Najib menjelaskan pada Selasa depan atas alasan sedang berkempen untuk calon BN sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Mereka merasakan keputusan Azhar tidak selari dengan status peraturan.

"Saya mengambil maklum dan terima kasih atas peringatan itu. Apabila difikirkan semula, saya tidak mengambil kira apa yang dikatakan oleh ahli Parlimen sebelum membuat keputusan.

"Pada masa akan datang, saya akan mengambil kira perkara itu. Saya memohon maaf," kata Azhar.

Terdahulu, Pua menggesa Dewan Rakyat menggantung Najib daripada Parlimen kerana enggan memberikan penjelasan berhubung hutang 1MDB kepada Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada 9 Mac seperti yang diarahkan oleh speaker.

Tegasnya, Najib pergi Johor semata-mata untuk berkempen dan dia bukannya calon dalam PRN.

"Najib enggan mematuhi arahan speaker. Dia kata dia akan beri penjelasan selepas PRN Johor. Dia jelas menghina speaker dan Parlimen. Tindakan mesti diambil terhadapnya.

"Memandangkan speaker cakap boleh jelaskan dalam bentuk bertulis, jadi kita harap speaker akan gantung dia dari parlimen sehingga penjelasan Najib," kata Pua.

Bagaimanapun Azhar menyatakan dia memberikan lanjutan masa seminggu untuk Najib memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat.

"Apa yang dia cakap di luar (Dewan) di luar kawalan saya," ujarnya.

Anwar turut mempersoalkan adakah wajar speaker membenarkan lanjutan seminggu atas alasan penglibatan politik Najib seolah-olah mengatasi Parlimen.

"Saya ingin memberi pendapat, penjelasan speaker tidak selari dengan kedudukan Parlimen," kata Anwar.

Pada 3 Mac lalu, Pua mengemukakan usul agar Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja.

Katanya, Najib sebenarnya melakukan kesalahan fakta dalam beberapa isu yang dibangkitkannya khususnya mengenai 1MDB, pengambilalihan loji pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.

Ia selepas bekas perdana menteri itu mendakwa tiada iada satu sen pun dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Ini kerana, katanya pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

Namun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kemudiannya menjelaskan Malaysia masih belum membayar balik jumlah hutang prinsipal 1MDB sebanyak RM32.3 bilion, tetapi negara sedang membuat bayaran faedah hutang tersebut iaitu sebanyak RM6.5 bilion.

Lihat Komen
ADS