Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi bayangkan akan bertemu Dr Mahathir demi ummah
Diterbitkan:  Apr 2, 2022 10:27 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membayangkan akan bertemu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad demi agenda menyatukan ummah.

"Kita sedia jumpa dengan siapa sahaja. Insya-Allah, akan diatur. Kita hendak menyatukan ummah,” katanya, lapor Harakahdaily hari ini.

Abdul Hadi juga berkata dia telah dimaklumkan pertemuan antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dengan Dr Mahathir yang juga presiden Pejuang.

Semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga mengakui terdapat pertemuan antara dirinya dan Muhyiddin.

Bagaimanapun, presiden PKR itu berkata mereka tidak pernah membincangkan tentang sokongan terhadap Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS terbuka untuk sedia bersama siapa sahaja bagi menjayakan agenda Muafakat Nasional (MN).

Menjelaskan mengenai dakwaan 'PAS main dua kolam', Abdul Hadi berkata parti itu masih tetap berusaha untuk menyatukan MN yang tidak terbatas hubungan antara Umno dan PAS saja.

“Kita berhubung dengan semua orang, kita terbuka. Kita hendak menyatukan ummah, menyatukan orang Islam dan menyatukan masyarakat majmuk.

“Kita masih usaha nak menyatukan dan MN itu tidak terhadlah untuk dua parti (Umno-PAS) sahaja.

"Mana-mana parti yang boleh menerima konsep kita, dasar itu Perpaduan Ummah, kita terima,” katanya.

Menurut ahli parlimen Marang penyatuan ini selaras dengan dasar kepimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Abdul Hadi pada 27 Mac lalu menyalahkan pihak tertentu dalam Umno yang menyebabkan kerjasama melalui MN tergendala sehingga sekarang.

Katanya, ada pihak tertentu dalam Umno yang mahu mengubah "agenda perpaduan" yang dipersetujui kedua-dua parti demi kepentingan sendiri dengan maksud yang tersirat.

Bagaimanapun, dia tidak menyatakan siapa pihak yang didakwanya itu serta apakah agenda tersirat tersebut.

Kenyataan duta khas bertaraf menteri itu hadir ketika hubungan PAS-Umno terus tidak menentu dengan sesetengah pihak berpendapat mereka wajar mengutamakan MN berbanding Perikatan Nasional (PN) yang disertai Bersatu.

Selepas kekalahan pembangkang dalam siri pilihan raya negeri dengan terbaru PRN Johor, terdapat cakap-cakap untuk menyatukan lawan gabungan yang diterajui Umno itu di bawah khemah besar supaya tiada perpecahan undi, dengan mengelakkan pertembungan berbagai penjuru.

Lihat Komen
ADS