Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP kritik sambutan bagaikan wira kepada PM
Diterbitkan:  May 15, 2022 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengkritik tindakan mengerahkan orang ramai untuk menyambut kepulangan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dari Amerika Syarikat.

“Melainkan kamu memenangi Piala Dunia atau membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik... mengadakan 'pesta' menyambut kepulangan adalah satu jenaka.

"Apakah jenis pembantu (yang) diupah oleh perdana menteri kita untuk melakukan gimik kosmetik yang bodoh," katanya dalam catatan Facebook.

Yeoh mengulas video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi perdana menteri yang menunjukkan Ismail turun dari pesawat di Pangkalan Udara Subang selepas pulang dari AS.

Ismail disambut oleh orang ramai yang berbaris sebaik sahaja dia memasuki terminal bereknaan. Mereka dilihat bertepuk tangan dan berjabat tangan dengan perdana menteri itu.

Di luar terminal, Ismail juga disambut oleh orang ramai yang antara lain membawa sepanduk bertulis "DSIS, wira kita yang tidak didendang" dan "Malaysia berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan DSIS".

DSIS merujuk kepada "Datuk Seri Ismail Sabri".

Bernama melaporkan kira-kira 400 orang hadir terdiri daripada kepimpinan Umno, mahasiswa dan belia.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid.

Mereka juga dilihat menyanyikan lagu dan bergambar bersama perdana menteri.

"Tak sangka, ramai yang ada di sini menyambut ketibaan saya. Hilang rasa penat selepas perjalanan yang panjang apabila dapat bertemu dengan semua.

"Terima kasih kepada semua yang hadir yang terdiri daripada kepimpinan Umno, para mahasiswa dan belia serta Keluarga Malaysia yang mendoakan keselamatan kepulangan kami pagi ini," katanya di laman Facebook.

Terdahulu Ismail berada di Washington DC, AS untuk menghadiri sidang kemuncak AS-Asean.

Lihat Komen
ADS